HomeUtamaPTPS gabungkan semua penaja pendidikan di Sabah

PTPS gabungkan semua penaja pendidikan di Sabah

Read Time:2 Minute, 33 Second

KOTA KINABALU: Sabah melakar sejarah apabila menggabungkan semua penaja utama dalam pendidikan di negeri ini dibawah satu portal dikenali Portal Tajaan Pendidikan Sabah (PTPS), dilancarkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, hari ini.

Hajiji berkata, portal itu adalah inisiatif baharu dibawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam memperkasa bantuan kepada anak-anak Sabah terutama yang melanjutkan pengajian ke peringkat pengajian tinggi melalui gabungan kerjasama badan-badan penaja utama dan pemberi bantuan pendidikan di negeri ini.

Katanya, gabungan itu terdiri daripada Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri (JPAN), Kumpulan Yayasan Sabah (YS) dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) serta agensi pemberi bantuan dalam pendidikan iaitu Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas) dan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor (tiga kiri) menerima sumbangan dana untuk Tabung Pendidikan Negeri Sabah bernilai RM1 juta daripada Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sawit Kinabalu, Encik Victor Ationg pada Majlis Pelancaran Portal Tajaan Pendidikan Sabah (PTPS) di Dewan Auditorium, Menara Kinabalu, Kota Kinabalu pada Selasa.

Menurutnya, pembangunan portal yang bersepadu itu merupakan pendekatan holistik untuk menyelaraskan semua badan-badan penaja di Sabah dan agensi pemberi bantuan pendidikan.

“Portal ini akan menjadi platfom rasmi kepada pelajar untuk memohon tajaan pendidikan di negeri ini. Sebelum ini, semua penaja mengendalikan proses tajaan secara berasingan melalui laman web masing-masing. Namun, melalui portal ini permohonan akan digabungkan dan diintegrasikan di dalam satu portal.

“Justeru pelancaran portal ini memberi impak yang sangat positif kerana memudahkan pelajar untuk memohon tajaan dan bantuan pendidikan yang bersesuaian dengan kursus atau tempat pengajian.

“Selain itu, ia dapat memastikan bantuan diberikan secara efisien dan berkesan serta mengatasi pertindihan penajaan dengan memberikan peluang yang adil kepada pelajar serta menambah lagi bilangan pelajar yang mendapat bantuan kewangan dan seterusnya menyokong pembangunan modal insan negeri secara efektif,” katanya pada Majlis Pelancaran PTPS di Dewan Auditorium, Menara Kinabalu pada Selasa.

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri amat prihatin terhadap anak-anak Sabah yang tidak mempunyai tajaan dengan mengambil inisiatif mengadakan program Roadshow diketuai oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri selaku exco pendidikan bersama badan-badan penaja dan pemberi bantuan pendidikan di negeri Sabah terdiri daripada JPAN, YS, MUIS, Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas) dan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah.

“Program itu bertujuan menyantuni dan mengenalpasti pelajar-pelajar Sabah yang tidak mempunyai tajaan dan mendengar suara mereka mengenai isu dan hal ehwal di universiti,” katanya.

Menurut Hajiji, program itu yang berlangsung dari bulan April hingga Jun lalu telah mengenalpasti seramai 2,130 pelajar Sabah untuk diberikan tajaan setelah menyantuni pelajar-pelajar Sabah di 26 universiti awam induk dan cawangan, melibatkan 11 negeri di Semenanjung Malaysia dan Sarawak.

Beliau berharap lebih banyak syarikat korporat terus membantu bagi memperkasakan dana sumbangan pendidikan negeri Sabah.

“Saya mahu semua Pegawai Daerah dan Pegawai Daerah Kecil sama-sama memainkan peranan menghebahkan maklumat tentang hala tuju pembangunan modal insan melalui PTPS.

“Ini bertujuan bagi memastikan pelajar-pelajar luar bandar tidak tercicir dalam pembangunan modal insan selaras dengan inisiatif SMJ.

“Kerajaan Negeri Sabah akan terus menyokong dan komited dalam memperkasa modal insan menerusi pembangunan sektor pendidikan di negeri ini”, tegasnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Semua ketua, jabatan berkaitan ambil tindakan tegas, pantas tangani isu-isu semasa...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular