HomeIsu tempatanGAH-UMS martabat hasil seni pengkarya rantau borneo

GAH-UMS martabat hasil seni pengkarya rantau borneo

Read Time:1 Minute, 34 Second

Kota Kinabalu : Pameran Solo ‘The Kingdom: Rivers and Tributaries (II)’ oleh pengkarya seni abstrak tersohor dari Negara Brunei Darussalam, Pengiran Abd. Wahab Hassan Al-Abbas di Galeri Azman Hashim Universiti Malaysia Sabah (GAH-UMS) memperlihatkan usaha galeri tersebut dalam memartabatkan hasil seni pengkarya dari rantau Borneo. 

Pameran yang berlangsung bermula 27 Jun sehingga 15 Ogos itu mempamerkan 82 karya yang mengangkat pelbagai kisah sejarah dan keunikan biodiversiti di Kepulauan Borneo yang diterjemahkan melalui hasil seni berbentuk abstrak. 

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof dalam ucapannya sempena perasmian pameran tersebut baru-baru ini berkata, kepelbagaian kaum dan budaya di negeri Sabah itu sendiri merupakan satu keunikan yang berpotensi untuk diceritakan melalui hasil karya seni. 

“Melihat kepada potensi itu, GAH-UMS ini ditubuhkan sebagai menyokong usaha-usaha penggiat seni di Sabah dalam menghasilkan karya serta mengembangkan lagi industri seni khususnya seni visual di negeri ini. 

“Walaupun dengan kepesatan teknologi serta perkembangan kecerdasan buatan yang telah menggantikan pelbagai kemahiran, namun bidang seni masih memerlukan sentuhan manusia dan tidak boleh diganti dengan kemajuan teknologi,” katanya. 

Beliau turut menyeru para pelajar UMS khususnya pelajar program Teknologi Seni Visual, Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF) untuk memanfaatkan program pameran yang giat dijalankan oleh GAH-UMS dalam mempelajari dan mendalami bidang seni daripada pengkarya-pengkarya berpengalaman sebagai panduan untuk kerjaya pada masa hadapan. 

Dalam pada itu, Pengiran Abd. Wahab menjelaskan, pameran solonya antara lain mahu membawa potensi dimiliki rantau Borneo ke peringkat antarabangsa.

“Banyak hasil karya pengkarya berwibawa serantau boleh diketengahkan ke peringkat antarabangsa dan usaha ini tidak hanya memberi manfaat kepada pengkarya seni, malah mampu memberi nilai keuntungan kepada kerajaan negeri khususnya dalam memacu sektor ekonomi dan pelancongan serantau. 

“Justeru, usaha-usaha seperti meningkatkan infrastruktur bagi menyokong industri seni serta memperbanyakkan lagi platform untuk pameran seni perlu dilaksanakan dalam mengembangkan lagi industri seni serantau,” ujar beliau. 

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

UMS usaha sebar luas pengetahuan berkaitan HIV AIDS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular