HomeUtama'Lakukan kerja-kerja pembersihan pasca banjir dengan berhati-hati' - Shahelmey

‘Lakukan kerja-kerja pembersihan pasca banjir dengan berhati-hati’ – Shahelmey

Read Time:1 Minute, 44 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

PUTATAN: Mangsa-mangsa banjir yang terlibat dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati semasa melakukan kerja-kerja pembersihan pasca banjir di rumah mereka.

Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata demikian ketika menziarahi mangsa-mangsa yang terkesan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Sri Putatan, malam tadi (2 Julai).

Seramai 156 mangsa melibatkan 37 keluarga dipindahkan di PPS Putatan sejak jam 6 petang semalam (2 Julai).

Mangsa terdiri daripada lima kampung di daerah Putatan yang terjejas banjir iaitu Kg Tebogon, Kg Sailan, Kg Ulu, Kdg Ketiau dan Kg Duvason.

Prihatin akan keadaan itu, Shahelmey selaku Ahli Perlimen Putatan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat turut menghulurkan sumbangan RM500 setiap ketua isi rumah di PPS itu.

Selain itu, mangsa banjir itu juga telah menerima sumbangan RM1,000 daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang disampaikan sendiri oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor semalam.

Dalam pada itu, Shahelmey turut menasihatkan mangsa supaya terus tabah menghadapi ujian musibah ini dan sentiasa berhati-hati semasa membersihkan rumah mereka.

“Alhamdulillah saya dimaklumkan oleh Jawatankuasa Bencana Daerah Putatan bahawa keadaan banjir semakin surut di daerah Putatan, mangsa-mangsa terlibat dalam banjir ini boleh beransur-ansur pulang ke rumah mereka bermula esok (hari ini) dan seterusnya…

“Saya nasihatkan mereka yang terlibat dalam bencana untuk sentiasa berhati-hati dalam usaha membersihkan rumah dan harta mereka yang terlibat dalam bencana banjir,” katanya ketika ditemui pemberita di PPS Dewan Sri Putatan, malam tadi.

Beliau turut memaklumkan bahawa pihak agensi yang terlibat akan bekerjasama untuk membersihkan kawasan-kawasan yang terjejas banjir untuk memastikan aliran air dapat mengalir dengan lebih baik.

“Saya telah berbincang dengan Pegawai Daerah Putatan selain darpada apa yang telah mereka lakukan semalam iaitu bertindak mengaktifkan dan memindahkan mangsa ke PPS.

“Seterusnya kita juga bertindak akan bersama-sama agensi yang terlibat untuk membersihkan kawasan-kawasan yang mungkin tersekat disebabkan oleh lumpur dan juga kayu kayan yang menyebabkan saluran-saluran air tersumbat.

“Ini perlu dilakukan secara berkala untuk memastikan apabila tiba musim tengkujuh, hujan lebat saluran air akan dapat berfungsi dengan lebih baik sekali,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Piala FA : Sabah FC fokus beri saingan, elak dibolosi gol...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular