HomeUtamaPenganjuran Forum Integriti, komitmen berterusan QSB dalam amalan urus tadbir berintegriti

Penganjuran Forum Integriti, komitmen berterusan QSB dalam amalan urus tadbir berintegriti

Read Time:1 Minute, 51 Second

Kota Kinabalu: Penganjuran Forum Integriti 2024 anjuran Qhazanah Sabah Berhad (QSB) yang melibatkan pelajar Institusi Pengajiran Tinggi (IPT) merupakan satu komitmen berterusan syarikat berkaitan kerajaan negeri itu dalam amalan urus tadbir berintegriti.

Forum yang bertemakan Di Ambang Pintu Kerja: Menyuluh Jalan Tanpa Rasuah dianjurkan bersempena Minggu Integriti Kementerian Kewangan Negeri Sabah.

Pengerusi QSB, Datuk Dr Yusof Yacob berkata, QSB memberikan komitmen penuh dan mengambil langkah untuk menyokong program berkaitan integriti untuk difahami dan dihebahkan kepada orang awam termasuk kalangan pelajar.

“Ia sejajar dengan penerapan integriti dalam soal urus tadbir QSB bagi mengelakkan amalan rasuah. Dalam urusan tadbir korporat, integriti ini penting termasuk ketika berurusan dengan syarikat lain dan luar negara termasuk syarikat punya reputasi tinggi dan bertaraf dunia.

“Soal urus tadbir korporat yang telus dan berintegriti adalah yang dicari sekarang ini. Qhazanah Sabah Berhad sudah ke arah itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada forum itu dan acara penutupan disempurnakan Pembantu Menteri Kewangan 1 Datuk Julita Mojungki di Dewan Kuliah 1 Universiti Malaysia Sabah di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah SPRM Sabah Datuk S. Karunanithy, Timbalan Naib Cancelor UMS Prof Madya Dr Raman B. Noordin, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Negeri (Operasi) Anthea James Jipanus dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan QSB Rudy Jaglul.  

Forum ini dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Kewangan Negeri Sabah dan SPRM serta sokongan daripada UMS dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sabah.

Ia turut disertai kira-kira 400 pelajar daripada beberapa IPT awam dan swasta sekitar daerah ini iaitu UMS, UiTM, Universiti Tunku Abdul Rahman dan Universiti Kolej Yayasan Sabah.

Dr Yusof yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sindumin berkata, forum ini bukan acara yang pertama, QSB akan sentiasa memberi sokongan yang membabitkan soal urus tadbir yang berintegriti dan korporat yang baik.

“Integriti menjadi keutamaam dalam urus tadbir syarikat dan untuk tujuan itu, seorang pegawai SPRM telah ditempatkan di QSB, satu-satunya syarikat GLC kerajaan negeri yang mempunyai pegawai SPRM,” katanya.

Forum sehari itu menampilkan barisan panel yang berpengalaman iaitu Datuk Karunanithy,  Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) Prof Madya Datuk Dr. Ramzah Dambul, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan QSB Rudy Jaglul dan Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM Putrajaya Samsul Salip membincangkan pentingnya integriti dan pencegahan rasuah. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Piala FA : Sabah FC fokus beri saingan, elak dibolosi gol...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular