HomeUtamaBank Rakyat tawar moratorium kepada mangsa banjir di Sabah

Bank Rakyat tawar moratorium kepada mangsa banjir di Sabah

Read Time:1 Minute, 25 Second

Kuala Lumpur : Bank Rakyat menawarkan bantuan khas banjir yang merangkumi kemudahan moratorium sehingga enam bulan kepada pelanggan individu dan perniagaan yang terjejas akibat bencana banjir di Sabah yang melibatkan empat daerah termasuk di Penampang, Putatan, Tuaran dan Tamparuli.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dato’ Dr. Mohammad Hanis Osman berkata, berikutan kejadian itu, Bank Rakyat terpanggil untuk mengurangkan bebanan dan kesulitan yang dihadapi pelanggannya.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dato’ Dr. Mohammad Hanis Osman

Katanya, pihaknya berharap agar kemudahan moratorium itu akan dapat memberi kelegaan kepada mereka yang terjejas.

“Langkah proaktif yang diambil oleh Bank Rakyat ini yang mana amat bertepatan dengan nilai keprihatinan dan ihsan dalam konsep Malaysia Madani bertujuan untuk mengurangkan beban kewangan dan komitmen yang ditanggung pelanggan dalam waktu yang mencabar ini.

“Justeru, pelanggan yang menghadapi kesukaran untuk membuat ansuran bayaran pembiayaan bagi produk yang dilanggan boleh memohon bantuan moratorium ini.

“Ini termasuk bagi produk Pembiayaan Peribadi-i, Pembiayaan Perumahan-i, Pembiayaan Kenderaan-i, Sewa Beli Kenderaan-i, Pembiayaan Pendidikan-i, Pembiayaan Mikro-i dan Pajak Gadai-i,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohammad Hanis berkata, pelanggan yang terjejas boleh memohon menerusi e-mel [email protected] dengan menyertakan nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat terjejas, nombor telefon bimbit untuk dihubungi, jenis pembiayaan serta salinan bil utiliti yang mengesahkan alamat pelanggan.

Katanya, pelanggan perniagaan juga boleh terus mengunjungi Pusat Perbankan Perniagaan (BBC) berhampiran bagi mendapatkan bantuan.

Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh melayari laman web rasmi Bank Rakyat di www.bankrakyat.com.my, hubungi Pusat Panggilan di talian 1300 800 800 dan mengunjungi cawangan Bank Rakyat atau Susulan Berpusat (SB) yang berdekatan serta mengikuti media sosial rasmi Bank Rakyat bagi mendapatkan maklumat dari semasa ke semasa. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Premier Sarawak dikurniakan darjah ‘Seri Panglima Darjah Kinabalu’

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular