HomeIsu tempatanUMS komited bantu usahawan tempatan jana idea inovasi

UMS komited bantu usahawan tempatan jana idea inovasi

Read Time:2 Minute, 29 Second

Kota Kinabalu : Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus komited dalam membantu perkembangan dan daya saing usahawan tempatan menerusi kajian serta inovasi berkaitan perniagaan tempatan.

Menerusi satu program pembentangan akhir oleh pelajar kursus Komunikasi Pemasaran Bersepadu, para pelajar terlibat dalam membentangkan hasil kerja mereka dengan penglibatan usahawan perniagaan berasaskan produk tempatan Sabah.

Dengan membawa tema, ‘The 2nd Product Development and Promotional Campaign Competition for BG31903 Integrated Marketing Communication Pitching to Judges’, program pembentangan akhir yang diadakan di FPEP itu melibatkan 93 orang pelajar Tahun Dua, yang kemudiannya membentuk 13 kumpulan bagi pembentangan hasil kerja.

Menurut Pensyarah Kanan FPEP, Dr Siti Nor Bayaah Ahmad yang mengendalikan kursus tersebut, program itu antara lain bertujuan melibatkan pelajar dari program pemasaran untuk mencipta serta menghasilkan idea pembungkusan baru dan inovatif.

“Program ini juga menjana komunikasi digital yang efektif bagi membantu usahawan tempatan untuk mengembangkan keluaran mereka di peringkat tempatan dan nasional.

“Selain itu, usaha ini turut memberi peluang pelajar tahun dua Program Pemasaran yang terlibat untuk menggunakan pengetahuan dan kemahiran yang telah dipelajari dalam menghasilkan idea yang unik dan kreatif, sejajar dengan sasaran program pemasaran iaitu menghasilkan graduan berilmu, berkualiti dan berdaya saing.

“Tambahan pula, ini merupakan salah satu tonggak bagi merealisasikan aspirasi penubuhan UMS sebagai wadah ilmu untuk membantu komuniti tempatan dalam meningkatkan sosioekonomi dan menyemai nilai keusahawanan dalam kalangan pelajar UMS,” katanya.

Siti Nor Bayaah turut memaklumkan, program pengemukaan idea ini melibatkan seramai tujuh pensyarah dari pelbagai program FPEP bersama dengan empat orang usahawan tempatan yang bertindak sebagai penilai pertandingan.

“Empat usahawan itu ialah Juddy Lasisu, pemilik Aurora Mutiara Enterprise yang menghasilkan produk dari buah-buahan dan tumbuhan yang dikeringkan; Rosalia Anthony, pengasas Ohakakita Food Sdn Bhd, satu produk berkaitan sos pencicah, sambal tausi dan sambal tuhau.

“Vellarry Maydelina Yong, pengusaha Oupus Organic yang menghasilkan produk krim berasaskan buah bambangan; dan Sainah Asoh, pengusaha Tumuna Enterprise yang baru melibatkan diri dengan produk keladi serbuk, keladi keping dan kopi Pensiangan.

“Pelajar yang terlibat telah menyelidik, mengaplikasi dan mencadangkan pembungkusan baru serta melaksanakan pengiklanan digital melalui aplikasi Tik Tok sebagai mempromosi produk usahawan-usahawan wanita ini,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada usahawan-usahawan wanita tempatan tersebut atas sumbangan hadiah kepada pemenang bagi setiap kategori produk yang dipersembahkan oleh setiap kumpulan pelajar.

“Penglibatan usahawan tempatan ini telah memberi peluang kepada pelajar untuk berinteraksi dengan mereka melalui pembentangan idea dan mempromosikan hasil kerja kepada industri seperti yang berlaku di luar universiti.

“Ini membolehkan mereka mendapat pengalaman berharga iaitu mengaplikasikan idea pembungkusan produk yang kreatif dan promosi secara realiti dan bukan hanya bersandarkan kepada teori sahaja,” katanya.

Beliau turut berharap usaha itu dapat diteruskan pada masa akan datang dengan penglibatan lebih ramai usahawan mikro, kecil dan sederhana untuk bersama-sama dengan pelajar universiti dalam menghasilkan output kreatif bagi organisasi mereka.

Hadir sama pada program tersebut Timbalan Dekan Hal Ehwal pelajar FPEP, Dr. Noor Fzlinda Fabeil; Ketua Program Pemasaran, Dr Brahim Chekima; dan pensyarah kanan FPEP, Charlie Albert Lasuin yang turut bersama mengendalikan kursus Komunikasi Pemasaran Bersepadu. –SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

KKFVA, STB capai persetujuan jalin kerjasama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular