HomeUtamaSabah memperuntukkan RM131 juta untuk pembangunan, operasi sekolah agama Islam dan Masjid

Sabah memperuntukkan RM131 juta untuk pembangunan, operasi sekolah agama Islam dan Masjid

Read Time:2 Minute, 8 Second

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM131 juta untuk pembangunan dan operasi sekolah agama Islam dan masjid serta program-program kerohanian di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, pada tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajji Noor berkata, ini adalah antara pelbagai usaha atau inisiatif kerajaan negeri untuk membantu rakyat, membangunkan dan seterusnya membawa lebih banyak lagi kemajuan di negeri ini.

“Kerajaan negeri terus memperkukuhkan pembangunan modal insan dengan penyediaan pelbagai bantuan, pinjaman dan peruntukan selain peluang pendidikan kepada rakyat tanpa mengira kaum, bangsa serta agama.

“Baru-baru ini, saya telah melancarkan Portal Tajaan Pendidikan Sabah atau PTPS yang menggabungkan semua penaja utama dalam pendidikan di negeri ini, di bawah satu platform.

“PTPS adalah inisiatif baharu di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya dalam memperkasa bantuan kepada anak-anak Sabah, terutama yang melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi, melalui gabungan kerjasama badan-badan penaja utama dan pemberi bantuan pendidikan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Graduasi Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah Malaysia Timur Tahun 2024 di Dewan Kompleks JKKN Sabah, di sini hari ini.

Hajiji berkata, kerajaan negeri turut memberi perhatian kepada sekolah- sekolah tahfiz di negeri ini dan akan terus membantu sebarang keperluan.

Sehubungan itu, beliau mahu semua pelajar Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah Malaysia Timur yang melanjutkan pelajaran ke Turkiye agar menimba ilmu sebanyak mungkin bagi menyumbang kepada negeri, bangsa dan agama, apabila tamat pengajian kelak.

“Pelajar-pelajar ini juga perlu berani untuk berdaya kreatif dan meneroka ilmu serta inovasi baharu agar mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang.

“Kerajaan komited dalam pembangunan pendidikan Islam di negeri ini, sebab itu ia perlu dianggap sebagai jihad terpenting kerana ilmu pengetahuan yang bakal diperolehi dapat disumbang kepada masyarakat dalam pelbagai cara.

“Ini termasuklah dalam membantu agenda pembangunan negeri yang turut memerlukan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran dalam pelbagai bidang. Justeru, saya berharap semua pelajar yang melanjutkan pelajaran ke Turkiye memiliki jati diri yang kental agar tidak terbabit atau tidak mudah terpengaruh dengan dakyah tertentu yang menyeleweng atas nama Islam.

“Saya mahu semua pelajar berpegang kepada tujuan utama mereka iaitu menimba ilmu sebanyak mungkin di sana bagi menyumbang kepada negeri, bangsa dan agama,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji turut berharap pelajar-pelajar yang lahir dari Maahad ini dapat membantu usaha negara dalam memartabatkan agama Islam di dalam pelbagai sektor yang bakal mereka ceburi.

“Sentiasalah berpegang kepada al-Quran dan bawalah pulang ilmu yang diperolehi di Turkiye untuk dikongsikan kepada masyarakat di negeri ini khususnya,” katanya.

Seramai 56 pelajar Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah Malaysia Timur telah berjaya dipilih melanjutkan pengajian ke Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah di Turkiye. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Kira-kira 10,000 hadir perbarisan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-71 TYT Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular