KOTA BELUD: Kira-kira 18 buah rumah musnah dalam kebakaran yang berlaku di Kampung Kuala Abai, dekat sini petang tadi (9 Jul).
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu pada jam 3.43 petang tadi.
Katanya, komander operasi di lokasi kejadian melaporkan kebakaran melibatkan 18 buah rumah jenis separuh kekal berkeluasan 3600 meter persegi bagi luas keseluruhan kawasan kebakaran.
“Difahamkan selain rumah yang dibina rapat, faktor angin yang kuat kerana rumah berhampiran laut juga menyebabkan api merebak dengan cepat.
“Pasukan Bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan sumber air dari tangki jentera dan air terbuka (sungai) berhampiran.
“Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa mangsa yang terlibat dilaporkan. Namun kerja-kerja memadam bara-bara api masih dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.