HomeUtamaDUN Sabah lulus RUU Perbekalan Tambahan 2024 lebih RM1 bilion

DUN Sabah lulus RUU Perbekalan Tambahan 2024 lebih RM1 bilion

Read Time:2 Minute, 20 Second

Kota Kinabalu : Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan 2024 atau belanjawan tambahan bagi tahun ini berjumlah lebih RM1.004 bilion diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini petang tadi.

RUU Perbekalan Tambahan 2024 itu diluluskan selepas mendapat sokongan sebulat suara daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang hadir dan diputuskan Speaker DUN Sabah Datuk Kadzim M Yahya.

Sebelum itu, beberapa ADUN mengambil bahagian dalam perbahasan yang bermula seawal jam 11 pagi sehingga kira-kira jam 4.30 petang tadi.

Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, peruntukan tambahan sebanyak RM1,004,195,850 itu adalah untuk menampung keperluan kewangan negeri sehingga akhir tahun ini.

Katanya, semua anggaran tambahan itu adalah mustahak bagi melancarkan operasi pentadbiran Kerajaan Negeri sehingga akhir tahun 2024 dan jumlah peruntukan tambahan itu terbahagi kepada enam kategori perbelanjaan.

“Kategori perbelanjaan pertama ialah Caruman Kumpulan Wang Pembangunan dan Amanah sebanyak RM295 juta atau 30 peratus, iaitu yang tertinggi.

“Ia diikuti Perbelanjaan Operasi sebanyak RM288 juta atau 29 peratus yang meliputi perbelanjaan penyelenggaraan infrastruktur, perbelanjaan operasi, penyelenggaraan dan pembaikan bangunan kerajaan.

“Selain itu, ia turut meliputi perkhidmatan dan pengangkutan logistik, tajaan biasiswa serta bantuan khas one-off tiket penerbangan bagi pelajar di Pusat Pengajian Tinggi di Semenanjung, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.


Sementara itu, Masidi berkata, kategori perbelanjaan yang ketiga ialah Perbelanjaan Pentadbiran sebanyak RM173 juta atau 17 peratus yang melibatkan perbelanjaan bayaran Bantuan Khas Kewangan (Bonus) dan Gantian Cuti Rehat (GCR).

Katanya, ia juga termasuk bayaran Emolumen, perbelanjaan utiliti dan sewaan serta elaun perbelanjaan sara hidup bagi melicinkan operasi pentadbiran di kementerian dan jabatan negeri yang terlibat.

“Kategori perbelanjaan yang seterusnya adalah di bawah Peruntukan Khas yang melibatkan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan kemudahan infrastruktur asas dan kemudahan awam.

“Antaranya seperti jalan raya, jeti, loji rawatan air (LRA), pertahanan tebing sungai, dewan serbaguna, stadium sukan, masjid dan pasar awam iaitu sebanyak RM101 juta atau 10 peratus.

“Bagi kategori yang ke lima, iaitu Perbelanjaan Pelaburan sebanyak RM80 juta atau lapan peratus adalah bagi pembelian saham untuk menjana hasil tambahan kepada Kerajaan Negeri dalam bentuk dividen.

“Kategori perbelanjaan terakhir iaitu sebanyak RM64 juta atau enam peratus disyorkan bagi pemberian geran antaranya kepada Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan serta Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA),” katanya.

Dalam pada itu, Perbelanjaan itu katanya untuk melancarkan pelaksanaan program yang boleh mendukung hasrat dan usaha kerajaan dalam meningkatkan penyampaian perkhidmatan sosial serta kesejahteraan rakyat.

Bagi perbelanjaan tambahan mengikut kementerian, Masidi berkata jumlah tertinggi iaitu sebanyak RM529 juta diperuntukkan kepada Kementerian Kewangan, disusuli Kementerian Kerja Raya (RM204.9 juta), Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (RM55.9 juta) dan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (RM32.1 juta).

Selain itu, Kementerian Belia dan Sukan diperuntukkan sebanyak RM31.9 juta, manakala baki RM39.9 juta lagi diperuntukkan kepada kementerian dan jabatan negeri yang lain. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Polis Keningau buru suspek terlibat kes bunuh

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular