Kota Kinabalu : Sebanyak 10 buah sekolah melibatkan sekolah rendah dan menengah bakal berentap merebut gelaran juara pertandingan Seni Warisan Juara Limbai 2024 yang berlangsung malam esok.
Pertandingan akhir yang akan berlangsung di Pusat Kebudayaan Persatuan Rumpun Bajau Sama Sabah itu dijangka akan dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan akan turut dihadiri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.
Antara sekolah yang layak ke peringkat akhir adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Bahang, Penampang; SK Kauluan, Tuaran; SK Taritipan, Kota Marudu; SK Pekan Tamparuli dan SK Sembulan, Kota Kinabalu.
Bagi sekolah menengah, sekolah terlibat adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Narinang Kota Belud; SMK Tambulion, Kota Belud; SMK Pekan Telipok, Tuaran; SMK Chinta Mata, Tenom dan Sekolah Menengah (SM) Lok Yuk, Kota Kinabalu.
Pengarah Penyiaran Sabah Salmah Hashim berkata, pertandingan yang bermula jam 8.30 malam itu dirakam dan akan disiarkan pada 20 Julai bermula jam 9 malam di TV2, laman rasmi media sosial Facebook dan Tik Tok RTM Sabah dan Radio SABAHfm.
Katanya, penganjuran itu juga adalah sebagai usaha memartabatkan seni persembahan kesenian tradisional ‘Limbai’ yang terkenal dalam kalangan suku kaum Bajau Sama, salah satu etnik terbesar di negeri Sabah.
“Pertandingan kali ini masih mengekalkan konsep sama seperti tahun lepas iaitu tarian etnik ‘Limbai’ yang dibahagikan kepada ‘Limbai Tradisi dan Limbai Kreatif’.
“Untuk Limbai Tradisi, persembahan tarian akan diiringi muzik rentak tidung secara ‘live’. Manakala, untuk Limbai Kreatif, persembahan tarian akan diringi lagu kontemporari etnik Bajau yang dinyanyikan oleh para artis dan muzik lagu popular negeri Sabah yang digubah semula,” katanya.
Sementara itu, Salmah berkata, sntara artis yang akan mengiringi persembahan tarian tersebut adalah Ben Simon, Dhania, Rozaimie, Nanie dan Mohd Fadzley Izzani.
Selain itu katanya, program turut menampilkan undangan khas penyanyi popular tanahair, Wany Hasrita .
“Juara bagi kedua-dua kategori akan membawa pulang hadiah wang tunai, piala dan sijil penyertaan kepada juara, nain juara dan tempat ketiga selain saguhati dan penari terbaik perempuan dan lelaki.
“Pertandingan Seni Warisan Juara Limbai 2024 dijayakan bersama dengan Kerajaan Negeri sebagai penaja utama serta rakan strategik seperti Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS), Persatuan Rumpun Bajau Sama Sabah (PRBSS) dan AJ Production Sdn Bhd.
“Penganjuran pertandingan itu salah satu usaha mengangkat martabat seni warisan dan mengekalkan kesinambungan budaya agar diwarisi generasi akan datang, sekaligus dilihat relevan kepada masyarakat dalam mengekalkan seni tari budaya masyarakat setempat,” katanya. – SABAH MEDIA