HomeIsu tempatanBot pukat jerut ditahan atas beberapa kesalahan

Bot pukat jerut ditahan atas beberapa kesalahan

Read Time:1 Minute, 17 Second

Kota Kinabalu : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan menahan sebuah bot pukat jerut di kedudukan lebih kurang 0.77 batu nautika utara Pulau Plompong kerana melakukan beberapa kesalahan baru-baru ini.

Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Bin Che Engku Daik memaklumkan bot tersebut telah ditahan bot peronda Maritim Malaysia ketika sedang melakukan rondaan di sekitar perairan Kota Kinabalu.

Katanya, semasa ditahan untuk pemeriksaan, bot pukat jerut terbabit sedang dikendalikan oleh 12 kru termasuk kepten yang terdiri daripada warganegara Indonesia dan Filipina yang berumur dalam lingkungan 20 hingga 39 tahun.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot telah melakukan kesalahan dibawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MS0) 1952 kerana beroperasi tanpa keanggotaan yang mencukupi sebagaimana dikehendaki Pegawai Pelabuhan.

“Seterusnya, pemeriksaan lanjut turut mendapati salah seorang kru bot yang juga warganegara Indonesia telah melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959 kerana memiliki dan mengemukakan dokumen perjalanan dan permit pekerjaan yang telah tamat tempoh,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Suhaimi berkata, berikutan penemuan tersebut, bot serta kesemua kru ditahan dan dibawa ke jeti Maritim Malaysia Sepanggar bagi diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan siasatan selanjutnya di bawah kedua-dua akta yang dinyatakan.

Katanya, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dan akan mengambil tindakan undang-undang ke atas sebarang aktiviti atau salahlaku jenayah di laut.

“Orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan W. P Labuan di talian 088-387774 atau Perkhidmatan Panggilan Kecemasan Next. Generation Emergency Service (NG999) yang beroperasi 24 jam,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

UMS usaha sebar luas pengetahuan berkaitan HIV AIDS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular