HomeSukanItu sekadar khabar angin, tiada yang keluar pasukan - Rafie

Itu sekadar khabar angin, tiada yang keluar pasukan – Rafie

Read Time:2 Minute, 25 Second

Kota Kinabalu : Dakwaan akan ada lagi pemain Sabah FC meninggalkan pasukan itu selepas Ramon Machado adalah sekadar khabar angin.

Perkara itu dinyatakan Pengurus Sabah FC Rafie Robert dalam sidang media dan ‘High Tea’ di Padang Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) di sini petang tadi.

Katanya, setakat ini pihaknya juga tidak menerima sebarang permintaan atau tawaran daripada kelab lain untuk membawa pemain Sabah FC keluar.

“Selepas selesainya isu tunggakan gaji, timbul pula isu pemain yang akan keluar.  Saya boleh jawab diperingkat saya sahaja dan pasukan kami, setakat ini kita tidak mendengar apa-apa permintaan atau tawaran daripada kelab-kelab lain untuk membawa pemain kita keluar.

“Jadi saya tidak boleh menjawab lebih sebab perkara itu adalah tidak sampai ke makluman kami di pihak pengurusan kelab.  Jadi itu saya beranggapan ianya adalah sekadar khabar angin sahaja,” katanya.

Hadir sama pada sidang media itu Ketua Jurulatih Datuk Ong Kim Swee dan Ketua Pegawai Operasi Sabah FC Mohd Syazwan Imran.

Sebelum ini tular dimedia sosial beberapa tonggak utama Sabah FC bakal mengikut jejak langkah Ramon.  Antara seperti Saddil Ramdani; Darren Lok dan Gabriel Peres.

Isu itu timbul selepas penyerang dari Brazil Ramon Machado menamatkan kontrak bersama Sabah FC selain turut dikaitkan dengan isu pembayaran gaji pemain yang tertunggak.

Bagaimanapan Rafie berkata, tunggakan gaji pemain telah dilunaskan pihak pengurusan sebelum perlawanan suku akhir menentang Terengganu di tempat lawan sebelum ini.

Selain itu, beliau turut menafikan dakwaan masalah gaji pemain menjadi antara punca kepada dua kekalahan bertemu Terengganu di tempat lawan dan di Stadium Likas.

“Isu-isu ini timbul adalah berkait dengan perlawanan menentang Terengganu dalam pusingan suku akhir Piala FA dimana berlaku kekalahan di tempat lawan dan juga di sini (Stadium Likas). 

“Ada yang mengatakan enam bulan tidak dibayar, empat bulan dan tiga bulan, sebenarnya saya tidak ada kuasa untuk memperjelaskan isu gaji, cuma saya sebagai pengurus pasukan, bertanggungjawab untuk memperjelaskan bahawa punca kekalahan itu tidak ada kena mengena dengan tunggakan gaji seperti yang diviralkan.

“Saya tampil kerana saya mahu memperjelaskan bahawa pemain dan pasukan saya telah dibayar gaji sebelum perlawanan kita ke Terengganu ditempat lawan hari itu.

“Jadi dalam masa yang sama juga saya memperjelaskan sebab saya tengok di media sosial banyak menyalahkan saya sebagai pengurus pasukan. Jadi saya sebenarnya ingin ambil peluang juga untuk menerangkan fungsi dan jawatan saya sebenarnya,” katanya.

Rafie berkata, sebanyak dua struktur organisasi terdapat di Sabah FC melibatkan pengurusan dan pasukan.

“Dalam pengurusan, Sabah FC diketuai oleh pengurus besar dan juga ketua pegawai operasi.  Untuk pasukan pula, saya sebagai pengurus pasukan bersama-sama dengan Datuk Ong adalah dalam mentadbir pasukan yang mana tugas kami adalah untuk memastikan pasukan dan menyediakan jadual, latihan, perlawanan ataupun mengatur program untuk pasukan.

“Itu fungsi kami sebenarnya. Jadi ada yang mengatakan isu kewangan dan bertanya kepada kami dan sebenarnya kami sebagai pentabir pasukan memang tidak mempunyai kuasa untuk menjawab soal kewangan,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO SABAH FC

RELATED ARTICLES
Sukan

280 peserta sertai ‘Tropical Rainforest Run 2024’ Ahad ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular