HomeUtamaKes samun berkumpulan bersenjata, seorang suspek diberkas, seorang masih diburu

Kes samun berkumpulan bersenjata, seorang suspek diberkas, seorang masih diburu

Read Time:2 Minute, 58 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

PENAMPANG: Seorang suspek lelaki tempatan berjaya diberkas, seorang lagi masih diburu, disyaki terlibat dengan kes samun berkumpulan dengan senjata sebilah parang yang berlaku di sebuah kedai serbaneka 24 jam di pusat industri di Jalan Penampang, dekat sini pada 16 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, pada 16 Jun 2024 (Ahad) jam lebih kurang 8.15 pagi, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Penampang telah menerima satu laporan polis berkenaan kejadian samun berkumpulan bersenjata tersebut.

“Suspek disyaki dua lelaki telah masuk ke dalam premis dengan menggunakan topi keledar berpelitup muka dan salah seorang daripada suspek bertindak mengeluarkan sebilah parang dan meminta duit daripada pengadu.

“Ketika kejadian teman sekerja pengadu telah membuka peti duit tersebut dan kedua-dua suspek telah mengambil sejumlah wang yang bernilai RM1081.50 yang disimpan di peti duit.

“Suspek juga telah mengambil sebuah telefon bimbit milik pengadu yang dianggarkan bernilai RM 2,000.

“Kedua-dua suspek kemudian beredar dari tempat kejadian menggunakan sebuah motosikal berwarna hitam nombor plat tidak dikenalpasti,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurut Sammy, hasil siasatan awal dan maklumat yang diperolehi, pada 9 Julai 2024, jam lebih kurang 8.30 malam, bertempat di sebuah rumah tidak bernombor, di sebuah kampung di daerah Papar, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Penampang dan sepasukan polis cawangan di Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah telah membuat tangkapan ke atas seorang lelaki serta merampas barang kes disyaki terlibat dalam kes yang sedang disiasat.

“Suspek merupakan seorang lelaki penganggur warga tempatan berumur 47 tahun.

“Hasil semakan suspek turut mempunyai dua rekod jenayah lampau iaitu melibatkan kes di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (iaitu positif dadah jenis methamphetamine/amphetamine) dan Seksyen 160 Kanun Keseksaan iaitu gaduh gempar.

“Hasil ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Beliau berkata, pihak polis juga telah berjaya membuat rampasan sebanyak 28 item selain topi keledar, pakaian, telefon bimbit, tablet, kad bank dan termasuk selaras senapang bakakuk, selaras senapang angin, empat butir kelonsong peluru, kotak berisi peluru timah senapang angin, tiga bilah parang serta sebilah pisau.

“Kes ini diklasifikasikan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu rompakan dengan menggunakan senjata yang mana jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara boleh sampai 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat,” katanya.

Susulan rampasan itu, katanya, pihak polis turut membuka kertas siasatan di bawah Seksyen Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata api dan anak peluru tanpa lesen atau permit yang sah yang membawa kepada hukuman penjara selama tempoh tidak melebih tujuh tahun atau dikenakan denda tidak melebihi rm 10,000.00 atau kedua-duanya sekali.

“Suspek dan kesemua barang rampasan telah dibawa ke Ipd Penampang untuk siasatan lanjut.

“Hasil soal siasatan lanjut dan tangkapan membawa kepada pengakuan lisan suspek terlibat dengan empat lagi kes samun bersabit beberapa premis kedai di sekitar Penampang.

“Modus operandi kes ini ialah samun berkumpulan bersenjata dan kes kini disiasat bawah seksyen 395/397 kanun keseksaan iaitu samun berkumpulan dan bersenjata yang membawa kepada hukuman penjara dua puluh tahun penjara dan sebat,” katanya.

Sammy turut memaklumkan, pihak polis masih giat memburu dan menjejaki seorang lagi rakan suspek dipercayai warga tempatan yang masih lagi bebas seperti lakaran wajah (fotofit) dan butiran tersebut iaitu
nama samaran dikenali sebagai ‘Samsul’ tinggi lebih kurang 180 cm warna kulit kuning langsat/cerah.

Suspek ‘Samsul’ diburu pihak polis disyaki terlibat kes samun berkumpulan bersenjata di daerah Penampang.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian jenayah ini untuk segera melaporkan kejadian di balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Norisyam Syed Putra Arsad di talian 018-9618072,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Tiada murid SK Likas terlibat dengan kebocoran gas disyaki Ammonia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular