Kota Kinabalu : Johor Darul Ta’zim (JDT) FC tidak berdepan masalah untuk terus mengekalkan kemenangan dalam Liga Super apabila berjaya menundukkan Sabah FC 3-1 di Stadium Likas di sini malam ini.
Keputusan itu menyaksikan JDT terus mengukuhkan kedudukan ditangga teratas liga dengan mengutip 15 mata dari lima perlawanan.
Sebaik babak pertama bermula, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu hampir memperoleh gol awal menerusi sepakan percuma yang disudahkan Jafri Firdaus Chew pada minit ke-2 perlawanan namun percubaannya melewati palang pasukan pelawat.
Kedua-dua pasukan terus mempamerkan aksi menarik dengan beberapa percubaan bagaimanapun belum dapat memperoleh gol.
Penyerang JDT Romel Morales tidak menunggu lama untuk mendapatkan gol pertama selepas berjaya menolak masuk bola menerusi sepakan sudut pada minit ke-21 menjadikan kedudukan berubah 1-0.
Tersentak dengan gol itu, Sabah tidak berputus asa untuk menyamakan kedudukan apabila S.Kumaahran cuba menjaringkan gol dari luar kotak penalti pada minit ke-32, bagaimanapun percubaannya tersasar ke tepi gawang pasukan pelawat.
Berselang lapan minit kemudian, Sabah hampir mendapat peluang bagi menyamakan kedudukan menerusi percubaan Jafri, namun sepakannya sekali lagi tinggi melewati palang JDT.
Sabah sekali lagi dikecewakan menerusi gol kedua JDT menerusi sepakan Romel pada minit ke-44 menjadikan kedudukan berubah 2-0.
Babak kedua bersambung, Sabah berjaya dihadiahkan sepakan penalti yang disudahkan Gabriel Peres pada minit ke-52 menjadikan kedudukan berubah 2-1.
Hasrat Sabah untuk menambah gol kedua tidak kesampaian apabila JDT dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-95 yang disudahkan Bergson De Silva menjadikan kedudukan berubah 3-1.
Kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan dan Sabah kekal ditangga keempat dengan mengutip tujuh mata.
Sabah akan bertemu Negeri Sembilan pada 27 Julai di Stadium Tuanku Abdul Rahman. – SABAH MEDIA / FOTO MFL