HomeUtamaKPKM salur lebih RM33.5 juta kepada Sabah, laksana projek tingkat hasil produk...

KPKM salur lebih RM33.5 juta kepada Sabah, laksana projek tingkat hasil produk agromakanan negara.

Read Time:1 Minute, 59 Second

Kota Kinabalu : Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memperuntukkan sebanyak lebih RM33.5 juta kepada Sabah bagi tujuan pelaksanaan projek pembangunan bersama Kerajaan negeri.

KPKM dalam satu kenyataan berkata, peruntukan itu merupakan yang tertinggi disalurkan kepada Sabah berbanding negeri-negeri lain.

Tambah kenyataan itu, jumlah itu adalah sebahagian daripada peruntukan sebanyak RM150 juta yang diluluskan Kerajaan Persekutuan yang merupakan inisiatif belanjawan khas bagi tahun 2024.

“Ia adalah bertujuan bagi membangunkan dan mengoptimumkan penggunaan tanah bagi meningkatkan lagi hasil produk agromakanan negara.

“Peruntukan sebanyak RM33,593,226 itu disalurkan secara berperingkat kepada Sabah pada 4 April lalu dan 14 Mei bagi memastikan program itu dapat dilaksanakan dengan jayanya,” menurut kenyataan itu di sini hari ini.

Terdahulu, cek cura berjumlah RM33,593,226 diserahkan kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu ketika mengadakan kunjungan hormat di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya semalam.

Hadir sama pada kunjungan itu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr. Jeffery G. Kitingan; Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup dan Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah Datuk Hendrus Anding.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak turut mengadakan perbincangan yang menjurus kepada kerjasama KPKM dengan Kerajaan Negeri Sabah bagi mengoptimumkan penggunaan tanah ke arah keterjaminan makanan negara.

Selain itu, turut dibincangkan kerjasama dalam melaksanakan projek pembangunan yang meliputi pemerkasaan sektor ternakan, tanaman dan aktiviti pengeluaran serta pemasaran produk hiliran di Negeri Sabah.

Penyaluran peruntukan yang disalurkan kepada Kerajaan Sabah itu adalah meliputi tujuh buah projek yang dikemukakan oleh Kerajaan Negeri Sabah.

Ia adalah melibatkan pemerkasaan ternakan bersepadu ruminan, pembangunan 23 buah Pusat Pengumpulan Hasil Tani, pemulihan sawah-sawah padi terbiar seluas 534.55 hektar, pembinaan kilang kopi dan pembangunan tanaman kontan (Keladi Cina) yang melibatkan pelbagai daerah di Negeri Sabah.

Kesemua projek tersebut akan dilaksanakan dan diselia oleh Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) melalui Jabatan Pertanian Negeri Sabah (DOA Sabah) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sabah (DVS Sabah).

Peruntukan tersebut secara tidak langsung akan memberi manfaat dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat di Negeri Sabah seterusnya meningkatkan pendapatan dan membaiki taraf sosio ekonomi negeri Sabah

Mohamad dalam rangka lawatan kerja ke Sabah selama empat hari bermula semalam akan mengadakan lawatan kerja melibatkan Konvoi Jelajah Road to MAHA@Sabah 2024 di Kota Kinabalu, Kota Belud, Kundasang, Telupid dan Sandakan. – SABAH MEDIA / FOTO KPKM

RELATED ARTICLES
Utama

Bersatu dalam meraikan kepelbagaian dan kepercayaan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular