Kota Kinabalu : Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor merakamkan ucapan terima kasih atas keprihatinan Kerajaan Persekutuan dalam membantu usaha Kerajaan negeri meningkatkan keterjaminan makanan di Sabah.
Katanya, Kerajaan negeri turut komited meningkatkan lagi tahap sara diri (SSL) hasil pertanian terutamanya padi.
“Ini termasuklah menghidupkan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah selain melaksanakan beberapa inisiatif bagi meningkatkan SSL beras daripada 22 peratus tahun ini kepada 31 peratus pada tahun 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas menerima kunjungan hormat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya di sini semalam.
Hadir sama Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Gapari Kitingan dan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup.
Hajiji berkata, inisiatif itu juga termasuklah memberi penekanan kepada pembangunan padi tanah kering iaitu penanaman padi bukit, pada tahun ini.
Pada kunjungan itu, Hajiji menyaksikan penyerahan replika cek berjumlah RM33,593,226 daripada Mohamad Sabu kepada Dr Jeffrey Gapari Kitingan
Peruntukan itu adalah untuk melaksanakan usaha meningkatkan keterjaminan makanan di negeri ini, antaranya pemerkasaan ternakan bersepadu ruminan dan pemulihan sawah-sawah padi terbiar. – SABAH MEDIA