HomeUtamaKumpulan pertama 118 jemaah haji Sabah kembali ke tanah air

Kumpulan pertama 118 jemaah haji Sabah kembali ke tanah air

Read Time:1 Minute, 26 Second

Kota Kinabalu : Kumpulan pertama jemaah haji Sabah seramai 118 orang selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini kira-kira jam 5.10 pagi tadi.

Dengan ketibaan itu, ia menandakan bermulanya operasi haji fasa kedua untuk Musim Haji 1445H/2024M bagi menyambut kepulangan jemaah haji ke tanah air khususnya di negeri Sabah.

Ketibaan para jemaah haji disambut Pengarah Wilayah Sabah dan Sarawak Tabung Haji (TH) Datuk Nurlaila Said dan Pengarah TH Negeri Sabah merangkap Pengarah Operasi Stesen Berlepas Kota Kinabalu Musim Haji 1445H/2024M Yusdi Nasip.

Kumpulan jemaah dari Sabah itu tiba di ibu negara semalan dari Madinah sebelum berlepas ke Kota Kinabalu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 2.30 pagi tadi menggunakan pesawat Malaysia Airlines KT76 (MH8576).

Nurlaila ketika ditemui berkata, semua jemaah yang tiba adalah melibatkan 54 jemaah lelaki dan 64 jemaah wanita.

“Alhamdulillah, hari ini jemaah kita yang pertama daripada Sabah telah pun selamat kembali ke tanah air seramai 118 orang iaitu lelaki 54 dan wanita seramai 64 orang.

“Ketibaan mereka daripada Madinah semalam dan selamat kembalilah ke Sabah pada hari ini dan kita lihat tadi semua sihat-sihat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nurlaila turut memaklumkan dua jemaah haji Sabah yang dilaporkan meninggal dunia di Tanah Suci telah diziarahi dan disantuni petugas TH Sabah.

“Dua jemaah haji kita telah meninggal dunia di Tanah Suci dan urusan lawatan ziarah kepada waris  telah selesai dilaksanakan oleh pengarah operaso Tuan Haji Yusdi baru-baru ini sebelum ketibaan jemaah bagi fasa dua ini.

“Kedua-dua keluarga sudah pun menerima khabar duka ini dan mereka disantuni sebaiknya disini dan begitu juga di Tanah Suci,” katanya.

Sebanyak lima lagi penerbangan haji akan tiba ke Sabah yang berakhir Rabu ini. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
PendapatUtama

Implikasi dan Cabaran Malaysia Sebagai Pasaran Pusat Data Ketiga Terbesar Asia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular