HomeUtamaProgram SMART SBB di Kota Belud bantu capai matlamat pengeluaran beras tempatan...

Program SMART SBB di Kota Belud bantu capai matlamat pengeluaran beras tempatan di Sabah

Read Time:1 Minute, 55 Second

Kota Belud : Pelaksanaan program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Ala Sekinchan yang diperluas ke Kampung Kesapang Tengah di sini adalah sebahagian daripada komitmen kolektif bagi memajukan agenda keterjaminan makanan negara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, program yang diselia Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) itu adalah meliputi lebih 175 hektar kawasan tanaman. 

“Program ini akan mengoptimumkan penggunaan tanah dan mengamalkan amalan pertanian terbaik untuk meningkatkan pengeluaran beras domestik seperti di Sekinchan, Selangor yang telah terbukti berjaya.

“Kejayaan program SMART SBB Ala Sekinchan BERNAS membuktikan komitmen Kementerian dalam mencapai matlamat pengeluaran beras tempatan di Sabah dan memastikan keterjaminan bekalan makanan negara, terutamanya dalam subsektor beras, sentiasa mencukupi dan mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan projek itu di sini semalam.

Mohamad berkata, menerusi program itu, BERNAS turut menambah empat buah mesin baharu yang boleh digunakan oleh peserta SMART SBB Kota Belud dalam usaha untuk meningkatkan pengeluaran padi melalui teknologi mekanisasi ladang terkini. 

Katanya, ini menjadikan sumbangan keseluruhan syarikat kepada sembilan mesin dan dua set peralatan pertanian itu adalah bernilai RM1 juta.

“Inisiatif ini antara lain bertujuan untuk meningkatkan pengeluaran beras tempatan dan meningkatkan tahap sara diri beras (SSL) di Sabah, memperkasakan petani dengan pengetahuan dan teknologi yang mampu memaksimumkan hasil tanaman padi dan pendapatan petani,” katanya.

Program SMART SBB Ala Sekinchan BERNAS bermula sebagai projek rintis di Kota Belud pada Jun 2022 bertujuan untuk menyumbang secara langsung kepada SSL beras tempatan di negeri Sabah.

Sebagai salah satu rakan strategik didalam perlaksanaan SMART SBB Ala Sekinchan, BERNAS turut menyediakan sokongan kepada para pesawah yang mengambil bahagian di dalam program ini termasuklah pengurusan ladang, jentera pertanian dan latihan serta modal pendahuluan untuk menampung kos operasi.

Ini selaras dengan dedikasi syarikat untuk meningkatkan taraf hidup komuniti pesawah di dalam negara.

Buat masa ini, sejumlah 81 pesawah telah menyertai program SMART SBB Ala Sekinchan BERNAS di 10 lokasi di Kota Belud.

Terdapat peningkatan hasil padi sebanyak 1.6 TM/Ha atau 62 peratus di kawasan Jawi-Jawi atau 2.6 TM/Ha kepada 4.2 TM/Ha, satu peningkatan signifikan kepada pendapatan petani.

Sejak diperkenalkan, program SMART SBB Ala Sekinchan yang merupakan kerjasama strategik di antara Kementerian, BERNAS dan rakan kongsi kami kini mencakupi lebih 1,904 hektar kawasan penanaman di 10 negeri, memberi manfaat kepada lebih 735 petani. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

13 barangan di bawah SHMMP di Labuan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular