HomeIsu tempatanKekalkan adat resam, nilai aset warisan budaya

Kekalkan adat resam, nilai aset warisan budaya

Read Time:1 Minute, 31 Second

Tamparuli : Ketua-ketua adat khususnya di daerah ini diseru untuk terus bersatu padu dalam memastikan adat resam terus dikekalkan selain nilai aset warisan budaya agar dapat dinikmati generasi sekarang dan akan datang.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, warisan adat resam masyarakat tempatan khususnya di kawasan Tenghilan perlu dijaga kerana kepentingan asetnya kepada pembentukan sejarah, tradisi dan amalan serta identiti sesebuah bangsa.

“Institusi mahkamah ini adalah sebuah institusi yang dihormati, kita sentiasa ingin memastikan adat resam kita khususnya di kawasan Tamparuli sentiasa terpelihara.

“Selain itu, Mahkamah Anak Negeri (MAN) juga berperanan penting dalam usaha mengekalkan adat resam serta warisan budaya, kerana uniknya di setiap daerah di Sabah mempunyai identiti mereka yang tersendiri, terutamanya dalam soal menyelesaikan urusan perundangan anak negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Piulungan Moginakan MAN dan Ketua-Ketua Kampung Mukim Tenghilan, di perkarangan bangunan MAN Tenghilan, di sini semalam.

Hadir sama Penolong Pegawai Daerah Kecil Tamparuli, Herman Tunggiging dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli, Madin Anak.

Jahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli berkata, adat resam yang ada di negeri ini perlu dijaga agar dapat diketahui dan menjadi sumber rujukan bukan sahaja kepada masyarakat tempatan tetapi juga luar negara kelak.

Beliau turut menyeru kepada masyarakat agar menjadikan perbezaan kaum dan agama sebagai satu keunikan, terus mengekalkan perpaduan dan kepelbagaian latar belakang sebagai antara aset kekuatan dan keunikan.

Sepanjang program, Jahid turut melawat dan meninjau keadaan di dalam mahkamah tersebut dan diberi sedikit taklimat ringkas mengenai kekurangan dan keperluan mereka di bangunan MAN Tenghilan.

Terdahulu, Pengerusi Penganjur yang juga Ketua Anak Negeri (KAN) Tenghilan, Selvis Gambar, berkata, semua ketua adat perlu bekerjasama dalam memastikan sistem pentadbiran berkaitan adat masyarakat di Tenghilan lebih efisien.

Katanya, sesi perjumpaan tersebut adalah platform terbaik bagi pemimpin dan masyarakat bertukar-tukar pandangan dan mendengar permasalahan berbangkit. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

UMS usaha sebar luas pengetahuan berkaitan HIV AIDS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular