HomeIsu tempatanMaritim Malaysia catat 37 tangkapan, rampasan lebih RM1.2 juta setakat Jun lalu

Maritim Malaysia catat 37 tangkapan, rampasan lebih RM1.2 juta setakat Jun lalu

Read Time:1 Minute, 59 Second

Sandakan : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan berjaya mencatat sebanyak 37 kes tangkapan bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini dengan nilai rampasan dianggarkan melebihi RM1.2 juta.

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, jumlah kes tangkapan ini hampir menyamai jumlah kes tangkapan pada tahun 2022 dan 2023.

Katanya, pada 2022 bagi tempoh sama merekodkan sebanyak 47 kes dengan nilai rampasan lebih RM86,000 serta 42 kes pada tahun lalu dengan nilai rampasan melebihi RM270,000.

“Kes tangkapan yang berjaya dilakukan membuktikan bahawa Maritim Malaysia, khususnya Zon Maritim Sandakan, serius dalam membanteras aktiviti jenayah dan salah laku di laut terutamanya di perairan Sandakan,” katanya,

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Kembara Sahabat Maritim 2024 di Sekolah Kebangsaan Terusan Baru, Pulau Timbang Sandakan, hari ini.

Hadir sama Pengarah Maritim Negeri Sabah dan W.P. Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik, Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain, Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Negeri Sabah, Ibrahim Othman serta Guru Besar Sekolah Kebangsaan Terusan Baru, Osman Ghani.

Saiful berkata, kejayaan kes tangkapan itu turut dibantu oleh maklumat yang disalurkan oleh orang ramai, khususnya komuniti maritim seperti nelayan yang mengetahui setiap gerak geri serta aktiviti yang berlaku di perairan negara.

Beliau berharap komuniti maritim terus menjadi ‘mata dan telinga’ kepada Maritim Malaysia, agar aktiviti salah laku dan jenayah di laut dapat dibendung, seterusnya memastikan perairan negara selamat dan sejahtera.

Beliau juga berharap program bersama komuniti seperti Sahabat Maritim dapat dilaksanakan secara berkala agar kerjasama dan persefahaman antara Maritim Malaysia dan komuniti maritim dapat diperkukuhkan lagi.

Program Kembara Sahabat Maritim 2024 ini adalah langkah proaktif Maritim Malaysia dalam mempererat hubungan dengan komuniti maritim, meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan keselamatan maritim, serta memastikan perairan negara terus selamat daripada ancaman bahaya.

Melalui pelbagai aktiviti dan program yang dirancang, Maritim Malaysia yakin dan percaya keselamatan dan kesejahteraan perairan negara akan terus terpelihara.

Terdahulu, Program Kembara Sahabat Maritim ini telah berlangsung selama tiga hari bermula pada 12 hingga 14 Julai.

Antara pengisian program adalah tinjauan potensi pelancongan di perairan Sandakan bersama wakil dari Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Negeri Sabah, kempen penanaman 100 juta pokok bersama Jabatan Perhutanan Sabah, saringan kesihatan dan kempen derma darah melalui Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan, taklimat dan pameran dari pelbagai agensi kerajaan yang terlibat serta penyerahan jaket keselamatan kepada komuniti nelayan setempat.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Wanita perlu tahu prosedur pengurusan harta pusaka

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular