KENINGAU: Seorang petani mengalami cedera parah akibat tertembak diri sendiri dengan senapang ‘bakakuk’ ketika pergi memburu payau di kawasan kebun Kampung Panganitan, Nabawan Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Keningau Superintendan Yampil Anak Garai ketika dihubungi media hari ini mengesahkan kejadian tersebut.
Menurut Yampil, pihak polis Nabawan telah dimaklumkan oleh staf di Klinik Kesihatan Nabawan hari ini (15 Julai) bahawa satu pesakit lelaki telah dirujuk kepada mereka dengan kecederaan di tangan dan dada sebelah kiri akibat tertembak diri sendiri.
“Hasil siasatan mangsa berusia 28 tahun itu telah keluar memburu payau pada 14 Julai kelmarin, jam lebih kurang 4 petang di kawasan kebun Kg Panganitan dengan berjalan kaki dan membawa selaras senapang ‘bakakuk’ buatan sendiri.
“Kawasan yang dituju mangsa adalah kawasan yang cuma berjarak kira-kira 3 kilometer dari kawasan kampungnya (30 minit dengan berjalan kaki). Mangsa bergerak solo tanpa ditemani oleh sesiapa.
“Ketika sedang berjalan menuruni kawasan cerun bukit, mangsa telah tergelincir dan picu “bakakuk” telah terganggu dan mengakibatkan letupan dan tertembak tangan kiri dan dadanya.
“Seterusnya mangsa terbaring dalam keadaan kesakitan dan mengikat lengan sebelah kiri bagi mengelakkan pendarahan yang lebih banyak,” katanya.
Yampil berkata, abang kandung mangsa merasa risau dengan mangsa yang tidak pulang ke rumah sejak keluar berburu dan mengambil keputusan untuk keluar mencarinya di kawasan hutan.
“Abang mangsa telah menemui mangsa di dalam kawasan hutan dalam keadaan lemah dan bertindak membawanya ke Klinik Kesihatan Nabawan untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Menurut keterangan mangsa, senapang bakakuk tersebut telah diwariskan oleh neneknya sejak dua tahun lepas untuk tujuan menjaga kawasan kebun mereka dari serangan babi hutan.
“Kemalangan tersebut mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah iaitu empat jari tangan kiri putus, patah tulang rusuk kiri dan sebiji anak peluru masih berada di tulang rusuk serta tiga biji peluru berada di lengan kiri.
“Keadaan mangsa adalah stabil dan masih ditahan di dalam wad Hospital Keningau untuk pemantauan rapi,” katanya.
Susulan kes itu, pihak polis telah menjalankan tangkapan ke atas mangsa dan merampas barang kes untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960,” kata Yampil.