HomePendapatAdakah syarikat-syarikat Kerajaan masih relevan di dalam dunia perniagaan?

Adakah syarikat-syarikat Kerajaan masih relevan di dalam dunia perniagaan?

Read Time:6 Minute, 45 Second

oleh : Wan Azrain Adnan

1.        Beberapa hari lepas, Ketua Audit Negara telah mengumumkan Laporan Ketua Audit Negara 2/2024 (LKAN 2/2024): Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan. Antara lain, LKAN 2/2024 telah melaporkan mengenai sebuah syarikat di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Malaysia, iaitu MARA Incorporated Sdn Bhd (MARA Inc).

2.        Ketua Audit Negara telah melaksanakan semakan audit memandangkan MARA Inc telah menerima suntikan modal sebanyak RM 301.20 juta dan pinjaman sebanyak RM 199.70 juta daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA). Semakan audit berkenaan merangkumi aktiviti pengurusan hartanah oleh MARA Inc, antara tahun 2020 – 2023.

3.        Secara ringkasnya, LKAN 2/2024 telah menyatakan beberapa rumusan mengenai MARA Inc, termasuklah:

  • MARA Inc telah menjalankan aktiviti secara kurang cekap sehingga menyebabkan kerugian terkumpul/ accumulated losses berjumlah RM 286.30 juta
  • MARA Inc tidak berupaya membayar dividen kepada pemegang saham selama satu dekad, iaitu sejak 2014. Pembayaran dividen kepada MARA pada tahun 2012 dan 2013 hanyalah berjumlah RM 2.88 juta
  • kedudukan kewangan Kumpulan MARA Inc kurang stabil kerana defisit pemegang saham/ shareholders deficit, serta liabiliti semasa/ current liability yang tinggi
  • lima daripada sembilan elemen tadbir urus korporat tidak di amalkan sepenuhnya oleh MARA Inc

4.        Fakta menarik: Sejak di tubuhkan pada tahun 1979, MARA Inc (ketika itu di kenali sebagai Tooltronic Sdn Bhd) adalah sebuah syarikat milik penuh Majlis Amanah Rakyat (MARA). Pada tahun 2018, MARA Inc telah di struktur semula sebagai sebuah syarikat milik penuh MARA Corporation Sdn Bhd (MARA Corp), iaitu sebuah syarikat pegangan pelaburan/ investment holding company milik MARA.

5.        MARA Inc telah di tubuhkan sebagai syarikat pelaburan dalam dan luar negara, yang mengurus, memperoleh hartanah dan sebagai pemaju dan kontraktor hartanah yang di perolehi, serta pembekal kuasa elektrik am termasuk penjanaan kuasa daripada sumber tenaga diperbaharui/ renewable energy.

6.        LKAN 2/2024 telah mengesyorkan agar MARA Inc menyemak semula objektif dan pelaksanaan hartanah yang menguntungkan dan memberi pulangan kepada MARA Corp.

7.        Menurut Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Malaysia, kerugian besar yang di catatkan oleh MARA Inc adalah di sebabkan kesilapan pelaburan terdahulu. Beliau memaklumkan bahawa pembelian beberapa aset oleh MARA Inc di luar negara melebihi harga pasaran.

8.        Manakala, Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA) pula menjelaskan bahawa kerugian terkumpul berjumlah RM 286.30 juta sejak tahun 2012 hingga 2022 tersebut, membabitkan pembelian aset di Australia dan United Kingdom antara tahun 2012 dan 2014.

9.        Setiap kali Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) di terbitkan, sudah pasti pelbagai isu di bangkitkan melibatkan pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan. Ketidakcekapan dan salah-laku pengurusan telah menyebabkan banyak syarikat-syarikat berkenaan mengalami kerugian berjumlah berbillion-billion Ringgit. Selalunya, Kerajaan Persekutuan yang terpaksa ‘bail-out’ syarikat-syarikat berkenaan, dengan bantuan kewangan.

Akhirnya, secara tidak langsung, rakyat juga yang sengsara!

10.      Oleh yang demikian, antara soalan pokok yang mesti di tanya ialah:

Adakah syarikat-syarikat Kerajaan masih relevan di dalam dunia perniagaan?

11.      Sebagai contoh. Di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Malaysia, terdapat 10 agensi yang memiliki pelbagai mandat serta tanggungjawab:

  • Majlis Amanah Rakyat (MARA)
  • Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS)
  • Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (JAKOA)
  • Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA)
  • Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA)
  • Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA)
  • Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH)
  • Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR)
  • Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA)
  • Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA)

12.      Adalah mengejutkan, majoriti agensi berkenaan memiliki Institusi Pengajian Tinggi tersendiri. Situasi ini seumpama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Malaysia sudah menjadi ‘mini’ Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Malaysia.

AgensiInstitusi Pengajian Tinggi (IPT)
Majlis Amanah Rakyat (MARA)Universiti Kuala Lumpur (UniKL)Kolej Poly-Tech MARA (KPTM)
Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA)Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM)
Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA)Kolej FELCRA
Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH)Kolej KETENGAH
Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA)Institut Pengajian Tinggi PERDA (PERDA-TECH)
Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA)Kolej KEDA

13.      Apakah kewajaran untuk agensi-agensi berkenaan yang sama-sama berada di bawah satu kementerian untuk memiliki IPT tersendiri?

14.      Walaupun dengan niat yang baik untuk membantu golongan luar bandar berpendapatan rendah secara khusus, ini bukanlah cara yang terbaik untuk mencapai matlamat yang di impikan. Penubuhan serta pengurusan sesebuah IPT melibatkan dana kewangan yang besar, serta memerlukan tenaga pengajar yang memiliki kepakaran serta pengalaman industri.

15.      Tambahan lagi, penubuhan IPT milik kementerian sebegini akan turut bersaing dengan IPT milik swasta. Ini boleh menghasilkan situasi ‘crowding out’, di mana IPT swasta terpinggir dengan saingan dari IPT milik kerajaan, dan akhirnya terpaksa menutup operasi. Ini terang-terang bertentangan dengan dasar kerajaan untuk memupuk semangat keusahawanan dan membina golongan usahawan yang berwibawa.

16.      Malah, situasi ‘crowding out’ boleh berlaku di dalam mana-mana sektor perniagaan, di mana kerajaan terlibat secara langsung dan aktif menerusi syarikat-syarikat yang di tubuhkan.

17.      Menurut lawan sesawang Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Malaysia, kini terdapat lebih 500 Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara:

Institusi Pengajian TinggiJumlah
Universiti Awam20
Politeknik36
Kolej Komuniti105
Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS)388

18.      Dengan jumlah IPT yang begitu banyak di seluruh negara, saingan adalah sangat sengit. IPT terpaksa berlumba-lumba untuk mendapatkan jumlah pelajar yang mencukupi. Enrolmen pelajar yang kurang akan menyebabkan IPT mencatatkan pendapatan yang rendah, seterusnya menimbulkan isu kewangan. 

Malah, banyak IPT di laporkan bergelut untuk kekal beroperasi secara mampan.

19.      Sudah pasti amat menarik untuk membaca laporan prestasi dan kedudukan kewangan IPT milik kerajaan. Mungkin Ketua Audit Negara boleh melaporkan prestasi IPT milik kerajaan di dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) seterusnya.

20.      Malah, keghairahan untuk memiliki IPT tersendiri turut melibatkan kementerian lain. Beberapa bulan yang lepas, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Malaysia telah mengumumkan bahawa Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) telah mula beroperasi sebagai IPT pertama di Malaysia yang fokus kepada bidang keusahawanan koperasi di peringkat diploma, sarjana muda dan sarjana.

Pada masa yang sama, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Malaysia telah di masyhurkan sebagai Canselor UKKM yang pertama.

21.      Persoalan: Apakah keperluan semasa yang mendesak penubuhan sebuah universiti khusus untuk pembangunan koperasi?

Secara am-nya, lebih wajar KUSKOP menjalin kerjasama strategik dengan salah satu IPT sediada dengan menubuhkan Fakulti atau Institut Keusahawanan Koperasi di IPT tersebut.

22.      Kementerian serta Agensi Kerajaan sewajarnya mengguna-pakai pendekatan yang berlainan untuk memenuhi mandat agenda pendidikan yang telah di kenal-pasti. Pendekatan tersebut mestilah berlandaskan prinsip ‘maximising value’ agar sebarang dana yang di belanjakan dapat memberikan hasil yang terbaik.

23.      Antara pendekatan yang boleh di ambil oleh Kementerian dan Agensi Kerajaan termasuklah:

  • Dana Pendidikan: bekerjasama dengan IPT terkemuka sediada dengan menyediakan dana pendidikan khas kepada pelajar-pelajar luar bandar yang layak untuk mengikuti pengajian di IPT berkenaan.

Sebagai contoh: Dana Pendidikan FELCRA boleh di tubuhkan di Kolej Sunway, di mana setiap tahun 20 pelajar dari komuniti FELCRA akan mengikuti pengajian di kolej berkenaan.

Dana Pendidikan sebegini boleh di tubuhkan di mana-mana IPT terkemuka yang memenuhi agenda pendidikan agensi kerajaan berkenaan.

  • Pelaburan: sekiranya pendidikan di lihat sebagai satu bidang perniagaan, pelaburan strategik boleh di buat di dalam IPT yang sudah established dengan reputasi yang baik dan rekod kewangan yang kukuh.

Pelaburan di dalam IPT sediada yang sudah terkenal dan menguntungkan akan membolehkan agensi kerajaan berkenaan menikmati pulangan secara konsisten dan nilai pelaburan yang meningkat tinggi.

24.      Oleh yang demikian, Kementerian dan Agensi Kerajaan wajar menumpukan usaha sebagai pengawal-selia/ regulator dan pemudah-cara/ facilitator di dalam sektor perniagaan negara. Fokus mestilah kepada pembinaan eko-sistem perniagaan yang membolehkan usahawan membangun secara mampan dan berdaya-saing.

RELATED ARTICLES
Pendapat

Ordinan Buruh perlu dipinda elak berlaku buruh paksa

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular