HomeUtamaSentiasa berhati-hati dengan cuaca tidak menentu - JBPM Sabah

Sentiasa berhati-hati dengan cuaca tidak menentu – JBPM Sabah

Read Time:1 Minute, 7 Second

Kota Kinabalu: Orang ramai khususnya yang tinggal di kawasan berisiko diingatkan agar sentiasa bersiap siaga terutama dari segi perubahan cuaca yang tidak menentu seterusnya mengakibatkan bencana banjir dan pokok tumbang.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Farhan Sufyan Borhan berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Jabatan Metereologi Malaysia (METMalaysia), kadar hujan yang turun dijangka akan lebat dan berlaku ribut petir dalam tempoh masa terdekat ini.

“Jadi kami mohon kepada  orang ramai supaya sentiasa bersiap siaga terutama dari segi perubahan cuaca yang mendadak, itu yang paling penting.

“Macam contoh kejadian pokok tumbang semalam di kawasan Kota Kinabalu telah menyebabkan kesesakan lalu lintas lebih dua jam hanya untuk mengalihkan pokok tersebut walaupun tidak melibatkan kecederaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Konvensyen Pasukan Bomba Sukarela Zon Borneo 2024 di sini, semalam.

Sementara itu, Farhan berkata, pihaknya mengambil pengajaran atas kejadian banjir besar yang berlaku di daerah Penampang baru-baru ini sehingga meragut satu nyawa.

“Itu bagi kita bukan banjir yang biasa tetapi banjir yang luar biasa dan jarang berlaku dan ramai yang persediaannya kurang.  Macam di Moyog belum pernah berlaku kejadian banjir besar seperti itu, jadi kesiapsiagaan memang sangat kurang.

“Jadi kita berharap untuk kawasan-kawasan terutama kawasan yang mempunyai aliran sungai lebih berhati-hati dan bersiap siaga, itu paling penting,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular