KOTA KINABALU: Malim gunung Tapak Warisan Dunia dan Kinabalu UNESCO Global Geopark (KUGGp) menerima pakaian seragam baharu perkukuh kualiti khidmat mereka.
Acara penyampaian pakaian seragam baharu itu adalah hasil usaha sama antara MountKinabalu.com dan Taman-Taman Sabah, yang disokong oleh Amazing Borneo Tours sebagai sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka.
Majlis ini selaras dengan pengisytiharan Kinabalu Geopark sebagai KUGGp, yang menekankan kekayaan warisan semula jadi dan budaya kawasan ini.
Pengiktirafan berprestij ini adalah bukti usaha gigih kakitangan Taman-Taman Sabah dalam memelihara tapak yang terkenal di seluruh dunia ini.
Ketua Penolong Pengarah, Taman Kinabalu, Tapak Warisan Dunia dan KUGGp, Justinus Guntabid berkata status UNESCO Global Geopark adalah satu pencapaian yang mencerminkan dedikasi bukan sahaja memperkasakan pemeliharaan dan perlindungan semula jadi Gunung Kinabalu untuk generasi akan datang tetapi juga untuk memberi peluang kepada komuniti setempat melalui pelbagai inisiatif yang terdapat dalam program KUGGp.
“Logo UNESCO Global Geopark pada lengan baju membolehkan malim gunung berkongsi status bertaraf global,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada acara itu menyaksikan penyampaian pakaian seragam baharu kepada malim gunung berlesen, yang menyatukan mereka di bawah Persatuan Malim Gunung.
Pakaian seragam baharu ini melambangkan kesatuan dan identiti profesional mereka, serta memupuk rasa komuniti yang kuat dalam kalangan malim gunung.
Bagi Justinus yang juga malim gunung berkata, pakaian seragam baharu ini bukan sahaja memberikan rasa bangga dan kekitaan tetapi juga mengukuhkan komitmen malim gunung dalam memastikan pengalaman yang selamat dan bermakna untuk semua pendaki dan pelawat.
“Untuk itu, kami sangat berterima kasih kepada Amazing Borneo Tours kerana menyumbangkan pakaian seragam ini,” katanya.
Sebagai rakan Kinabalu Geopark, tajaan Amazing Borneo Tours mencerminkan komitmen mendalam mereka untuk menyokong Kinabalu Geopark dan dedikasi Persatuan Malim Gunung terhadap keselamatan pendaki dan pelawat.
Sementara itu, Pengarah Operasi Amazing Borneo Tours, Lesley Hiew berkata, penglibatan pihaknya juga menekankan kepentingan memelihara alam semula jadi di sekitar Geopark Kinabalu untuk kelestarian jangka masa panjang.
“Kami berasa bangga untuk menyokong usaha KUGGp dan Persatuan Malim Gunung dalam mengekalkan keselamatan dan keindahan semula jadi destinasi ikonik ini.
“Justeru, idea disebalik pakaian seragam ini direka dengan memikirkan mengenai keselamatan dan menampilkan elemen merah untuk meningkatkan keterlihatan malim dan memudahkan pendaki untuk mengenali mereka.
“Sebagai rakan KUGGp, MountKinabalu.com berdedikasi untuk memastikan maklumat yang tepat kepada orang awam.
“Kerjasama ini telah menjadi kunci dalam menyediakan pelawat dengan maklumat yang boleh dipercayai dan mempromosikan usaha pemuliharaan yang menjadikan KUGGp sebagai destinasi terkenal di seluruh dunia,” katanya.