Kuala Lumpur : Sabah bakal menjadi tuan rumah bagi semua aksi Kumpulan C secara berpusat untuk peringkat kelayakan Liga Juara-Juara AFC Wanita (AWCL) 2024-25 bermula 25 hingga 31 Ogos depan.
Kejohanan yang julung kali diadakan itu menyaksikan pasukan bola sepak wanita Sabah FA diundi dalam Kumpulan C bersama wakil Uzbekistan, PFC Nasaf dan juara Nepal, APF FC dengan juara kumpulan bakal layak ke peringkat kumpulan untuk merebut kejuaraan sulung kejohanan wanita elit ini.
Majlis undian rasmi itu telah berlangsung di AFC House Kuala Lumpur di sini semalam.
Sabah menjadi wakil pertama Malaysia selepas muncul juara Liga Wanita Nasional musim 2023 yang akan menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri sebagai penguat semangar untuk memberikan saingan.
Lawan di peringkat kumpulan, APF FC dari Nepal adalah juara liga wanita Nepal musim 2023 dan berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam tiga musim manakala PFC Nasaf dari Uzbekistan juga adalah juara liga wanita Uzbekistan musim lalu 2023 yang juga kejuaraan kelima dalam sejarah kelab.
Sementara itu, pengurus pasukan Sabah, Arziz Afizy Rumsani berkata, Sabah amat berbangga untuk membawa nama Malaysia selain teruja apabila Kota Kinabalu dipilih sebagai salah satu venue oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
“Gembira kerana kami mewakili Malaysia dalam kejohanan yang julung kali diadakan dan saya harap para pemain dapat berikan saingan serta mendapatkan pengalaman apabila beraksi di peringkat tertinggi kelab wanita Asia ini.
“Sangat baik kami menjadi tuan rumah dan kelebihan ini adalah buat negeri Sabah dan berharap para penyokong akan hadir memberikan sokongan kepada pasukan,” katanya.
Terdahulu, sebanyak 21 pasukan telah mengesahkan tempat untuk bersaing dalam kejohanan itu dengan AFC mensasarkan satu pertandingan yang kompetitif sekaligus meningkatkan lagi mutu bola sepak wanita di benua ini. – SABAH MEDIA