BERNAMA
Kuala Lumpur : Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menzahirkan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk meneruskan segala ikhtiar bagi menjamin kesejahteraan rakyat di negara ini.
Beliau berkata kerajaan akan meneruskan pendekatan yang menekankan kepada reformasi pendidikan dan kesihatan melalui peningkatan tahap dan kualiti prasarana, serta aspek penguasaan bahasa Inggeris.
Anwar berkata kerajaan akan meneruskan penerokaan dalam bidang-bidang baharu seperti Kecerdasan Buatan (AI), transformasi digital dan transisi tenaga.
“Dalam usaha mewujudkan reformasi dan transformasi dewasa ini, kerajaan akan terus konsisten dalam menekankan nilai-nilai murni, pemantapan akhlak dan pengukuhan jati diri bangsa, selain tumpuan diberikan kepada aspek meningkatkan kecintaan dan kesetiaan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.
“Selain itu berkat kerjasama semua agensi dan jabatan jabatan kerajaan, usaha menoktahkan kemiskinan tegar akan terjelma pada akhir bulan ini, di samping Kerajaan terus akan memberikan penekanan kepada isu perumahan rakyat dan permasalahan kos sara hidup,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian semasa menyembahkan ucapan tahniah dan taat setia atas pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara, di sini hari ini.
Sultan Ibrahim ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dalam istiadat penuh tradisi dan adat raja-raja Melayu di Balairung Seri, Istana Negara pagi ini yang melakar satu lagi peristiwa bersejarah dan signifikan bagi Malaysia.
Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan.- BERNAMA / FOTO FB PMX