HomeIsu tempatanMaritim Malaysia tahan 'runner minyak', bawa muatan bahan api tanpa permit

Maritim Malaysia tahan ‘runner minyak’, bawa muatan bahan api tanpa permit

Read Time:1 Minute, 24 Second

Tawau: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot penumpang tempatan disyaki ‘runner minyak’ yang membawa muatan bahan api tanpa sebarang permit dalam kejadian tengah hari semalam.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, dalam operasi yang dijalankan pihaknya berjaya mengesan sebuah bot penumpang dalam keadaan mencurigakan bergerak laju dari Perairan Tawau menuju ke Pulau Sebatik pada pukul 12.15 tengah hari.

Katanya, pemeriksaan ke atas bot penumpang yang dikendali oleh seorang remaja lelaki tempatan berumur 21 tahun itu mendapati terdapat enam gelen bahan api jenis petrol dan diesel anggaran 160 liter dipercayai cuba diseludup keluar tanpa sebarang permit kebenaran.

“Bot serta muatan tersebut dirampas seterusnya dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Tawau untuk disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Enakmen JPDS 2002.

“Kesemua barangan termasuk bot penumpang, enjin bot dan muatan barangan disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM25,000,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Shahrizan berkata, modus operandi yang digunakan oleh ‘runner minyak’ adalah dengan membawa bahan api tersebut dalam kuantiti yang kecil secara berulang perlu dibanteras bagi mengelakkan sindiket penyeludupan membawa barang-barang kawalan tersebut ke negara jiran.

Katanya, penguatkuasaaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang tanpa mengira kuantiti barangan yang dibawa, khususnya di perairan Tawau.

“Maritim Malaysia memandang serius terhadap segala aktiviti jenayah rentas sempadan. Aset-aset ronda Maritim Malaysia akan sentiasa bersiap sedia diatur gerak pada bila-bila masa dalam menghadapi sebarang situasi.

“Sebarang maklumat berkaitan jenayah di laut boleh disalurkan terus ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau talian kecemasan NG999,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

UMS usaha sebar luas pengetahuan berkaitan HIV AIDS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular