Oleh NORMIMIE DIUN
PUTATAN: Penduduk khususnya di daerah Putatan memohon agar rumah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) ditambah di kawasan daerah tersebut disebabkan dua PPR sedia ada telah penuh.
Ahli Parlimen Putatan Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, setakat ini di kawasan Parlimen Putatan mempunyai dua PPR iaitu PPR Taman Sri Serigai dan PPR Taman Sri Keramat di Kampung Ketiau, dua-duanya sudah penuh.
“Jadi saya selaku wakil rakyat setiap hari mendapat permohonan rayuan daripada rakyat yang memerlukan rumah PPR, justeru itu, jalan penyelesaiannya adalah untuk mendapatkan PPR yang baharu,” katanya ketika ditemui pemberita semasa merasmikan Program Jiwa Komuniti Madani di Dewan PPR Taman Sri Serigai di sini, hari ini.
Ditanya mengenai status perkembangan terkini permohonan membina dua lagi PPR kawasan Parlimen Putatan iaitu di Kg Potuki dan Pasir Putih, Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya berkata, perkara itu telah dikemukakan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) persekutuan pada tahun lepas.
“Pada tahun lepas kita telah mencadangkan dan memohon kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Persekutuan untuk dua tapak cadangan PPR iaitu di Kg Potuki dan juga Pasir Putih, walau bagaimanapun pihak Jabatan Perumahan Negara di bawah KPKT telah melawat tapak tersebut dan untuk belanjawan tahun 2024 untuk Sabah yang kita dimaklumkan hanya diluluskan tapak PPR di Kuala Penyu.
“Jabatan tersebut masih KIV (dalam perhatian) lagi, jadi pada minggu hadapan Menteri KPKT YAB Tuan Nga Kor Ming akan datang ke Putatan untuk merasmikan Balai Bomba Putatan dan juga Tamu Putatan dan malah akan datang ke PPR Taman Sri Seriagai ini untuk lawatan kerja, jadi saya telah memaklumkan pada Pegawai Eksekutif Daerah Putatan untuk mengemukakan sekali lagi permohonan untuk PPR dibina di Daerah Putatan dan juga Parlimen Putatan.
“Sekiranya kita dapat satu di Daerah Putatan dan satu di kawasan Sembulan dan Tanjung Aru, ianya akan merupakan satu rancangan atau pelaksanaan yang bertepatan sekali memandangkan Putatan ini berada di pinggir Kota Kinabalu jadi keperluan PPR ini begitu tinggi sekali,” jelasnya.
Terdahulu, pada Program Jiwa Komuniti Madani itu adalah bersempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim.
Lebih 100 penduduk sekitar Parlimen Putatan menghadirikan program tersebut.
Shahelmey berkata, tujuan program itu diadakan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat setempat ataupun komuniti madani di daerah ini tentang acara bersejarah yang diadakan pada pagi ini sekali dalam 5 tahun iaitu pertabalan Yang Dipertuan Agong yang baharu.
“Saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada semua pengerusi dan ahli jawatan kuasa komuniti madani di Parlimen Putatan yang telah menjayakan program kali ini.
“Saya berharap komuniti madani ini akan dapat menjalankan tugas mereka di dalam berkongsi maklumat daripada pihak kerajaan untuk rakyat.
“Walaupun pihak media massa telah membuat liputan secara langsung yang boleh ditonton di rumah masing-masing tetapi dengan adanya program ini, kita dapat menontonnya secara beramai-ramai yang dapat bertukar-tukar fikiran ataupun komen berkenaan dengan adat istiadat pertabalan Yang Dipertuan Agong.
“Jadi ini sudah tentu menaikkan semangat yang memberi pengalaman yang baik bagi mereka yang berada di dewan pada pagi ini,” tambah beliau lagi.
Program diadakan dengan kerjasama Parlimen Putatan dan Jabatan Penerangan Negeri Sabah.