Kota Belud: Sistem solar ‘off-grid’yang dipasang menerusi program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di Eko Pelancongan Tindian Komujo Kampung Tambulion, di sini akan membantu meningkatkan lagi kesejahteraan komuniti luar bandar.
Program pemasangan yang dilaksanakan selama empat hari bermula 15 Julai lalu itu adalah anjuran kerjasama syarikat Seni Gemilang Sdn. Bhd. Dan Politeknik Kota Kinabalu (PKK).
Ia juga merupakan salah satu ‘Industrial Collaboration Programme’ (ICP) yang dikendalikan oleh Technology Depository Agency (TDA).
PKK dalam satu kenyataan berkata, program itu memfokuskan kepada pemindahan teknologi, pembangunan kapasiti dan kolaborasi antara industri tempatan dan antarabangsa.
Selain itu, PKK turut memaklumkan, ia juga adalah untuk mencapai matlamat utamanya iaitu memperkukuhkan teknologi tenaga boleh diperbaharui serta meningkatkan kesejahteraan komuniti luar bandar.
“Program CSR ini dimulakan dengan kursus pengenalan kepada sistem solar, kursus pemasangan dan penyelenggaraan manakala pada hari terakhir adalah praktikal pemasangan sistem solar tersebut,” menurut kenyataan itu di sini semalam.
Dalam program yang sama, telah berlangsung Majlis Menandatangi Surat Hasrat Kerjasama di antara Seni Gemilang Sdn. Bhd. bersama tiga institusi iaitu PKK, Kolej Komuniti Beaufort dan Kolej Komuniti Tawau.
Program CSR seperti ini akan menjadi landasan kepada pelaksanaan lebih banyak projek yang memanfaatkan teknologi hijau dan memberi impak positif kepada masyarakat di masa hadapan. – SABAH MEDIA / FOTO PKK