Kota Kinabalu: Seramai 52 pelajar terdiri daripada Kelab Pembimbing Rakan Siswa Politeknik (PRSP) dan ahli Kelab Pembimbing Rakan Inspirasi Siswa Siswi Kolej Komuniti (PRISS) telah menyertai Program ‘Special Training for Young Leaders’ (STYLE) 2024 di sini baru-baru ini.
Program yang diadakan selama empat hari berakhir 19 Julai lalu itu merupakan salah satu medium terbaik untuk pelajar Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) membangun dan menonjolkan bakat, mempelajari pelbagai kemahiran, kreativiti dan potensi diri.
Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang program itu antaranya latihan dalam kumpulan, lawatan ke pusat kebudayaan seperti Persatuan Seni Budaya Tuaran, Muzium Lotud Borneo dan Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama Lok Batik Tuaran.
Sementara itu, Pengarah Kanan Kompetensi Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Ts. Abdul Razak Sabtu berkata, program terbabit memberi impak yang positif kepada peserta.
“Program ini mengetengahkan konsep pemerkasaan atau membangunkan bakat dan kemahiran pelajar, memahami dan menyelami kepelbagaian silang budaya dan berkongsi ilmu bersama komuniti selaras dengan lima fokus JPPKK 2024.
“Peserta dapat mengadaptasi dan melihat ruang dan peluang untuk inovasi-inovasi baharu melalui keusahawanan mahupun pelbagai kemahiran lain,” katanya.
Pengarah Politeknik Kota Kinabalu (PKK) Md Nor Abdul Halim berkata, semua peserta telah menunjukkan semangat yang tinggi dan memberi kerjasama yang baik sepanjang program.
Pelajar Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik PKK, Joshua Semueil, 19, berbangga dan berterima kasih kepada rakan sekumpulan atas kerjasama yang diberikan sepanjang program berlangsung sehingga dinobatkan Anugerah Peserta Siswa Terbaik.
Manakala penerima Anugerah Peserta Siswi Terbaik, Nur Hanim Na’im, 19, pelajar Diploma Akauntansi Politeknik Sultan Azlan Shah berkata bahawa program STYLE membuatkan dirinya berani untuk bertanya dan sifat itu penting dalam membentuk jati diri seorang pemimpin.
Program ini adalah anjuran Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar JPPKK di bawah kelolaan Unit Pengurusan Psikologi PKK. – SABAH MEDIA / FOTO PKK