HomeUtamaKerajaan Persekutuan setuju bina semula jambatan gantung di Penampang, Tuaran

Kerajaan Persekutuan setuju bina semula jambatan gantung di Penampang, Tuaran

Read Time:2 Minute, 19 Second

Sandakan : Kerajaan Persekutuan setuju membina semula jambatan gantung di daerah Penampang dan Tuaran yang rosak akibat banjir melibatkan peruntukan sebanyak RM1 juta.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, peruntukan itu disalurkan melalui Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN). 

Katanya, langkah segera itu merupakan tindakan proaktif susulan bencana banjir yang melanda beberapa daerah di Sabah bermula 30 Jun lalu.

“Berdasarkan perincian laporan yang diterima, kejadian itu telah menjejaskan kehidupan 485 mangsa di kedua-dua daerah dan Putatan. 

“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana, saya telah mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk menempatkan tiga set jambatan Keluli Bermodular (Bailey Bridge) sepanjang 39 meter dan mampu menampung beban seberat 50 tan pada satu-satu masa.

“Kemudahan ini adalah langkah persediaan sekiranya wujud keperluan segera bagi menggantikan jambatan runtuh,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan ketika menghadiri sesi taklimat kejadian bencana dan laporan kewangan di Sabah oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad; Ketua Pengarah NADMA Datuk Khairul Shahril Idrus dan Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Datuk KPj. (PA) Aminurrahim Mohamed.

Ahmad Zahid berkata, beliau turut mengarahkan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) untuk melakukan kajian di kawasan tanah runtuh berdekatan kaki Gunung Kinabalu di Mesilau, Kundasang berikutan hujan lebat berterusan pada  23 Jun lalu.

Katanya, tindakan itu akan turut diselaraskan oleh pihak NADMA bagi mengenal pasti tindakan berkaitan yang perlu diambil. 

“Selain itu, JMG turut diarah meletakkan pengesan atau ‘sensor’ pergerakan di cerun-cerun kaki Gunung Kinabalu serta kawasan-kawasan tumpuan penduduk dan pelancong. 

“Jabatan Kerja Raya (JKR) turut disaran melaksanakan pemeriksaan dengan lebih kerap dan mengenal pasti jalan-jalan yang terputus hubungan. 

“Pada masa sama, Kerajaan Persekutuan turut memperuntukkan RM10 juta untuk menangani kesan cuaca kemarau di seluruh negara dan Sabah adalah antara negeri terjejas,” katanya.

Kemarau dilaporkan mula melanda pada pertengahan Mac dan berakhir pertengahan Mei lalu, sekali gus menyebabkan berlaku kekurangan bekalan air bersih di beberapa buah kampung. 

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, Kerajaan amat prihatin terhadap nasib yang menimpa golongan petani di negeri ini apabila tanaman masing-masing tidak mengeluarkan hasil yang sepatutnya akibat kesan cuaca panas.

Berikutan itu katanya, Kerajaan Persekutuan telah menggerakkan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Negeri Sabah pada akhir Mac lalu.

“Langkah itu merupakan antara usaha bersepadu Kerajaan bagi mengurangkan impak cuaca panas di kawasan terjejas manakala OPA kedua akan dilaksanakan sekiranya keadaan didapati belum pulih sepenuhnya.  

“Kerajaan Persekutuan berharap segala usaha ini berkesan dalam membantu dan melancarkan kelangsungan hidup rakyat negeri Sabah mendepani situasi banjir dan kesan cuaca kemarau pada masa akan datang.

“Segala langkah dan tindakan difikir wajar akan diambil mengikut keperluan kerana kesejahteraan rakyat di Negeri Sabah sentiasa menjadi keutamaan,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Sambutan Hari Malaysia disifatkan bawa makna besar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular