HomeIsu tempatanWarga Kiulu tonton Istiadat Pertabalan Agong menerusi wayang pacak

Warga Kiulu tonton Istiadat Pertabalan Agong menerusi wayang pacak

Read Time:1 Minute, 28 Second

Tuaran : Kira-kira 100 penduduk sekitar daerah Kecil Kiulu berpeluang menyaksikan lintas langsung Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 di sini semalam.

Lintas langsung berkenaan ditayangkan melalui Wayang Pacak sempena Program JIWA Komuniti Madani anjuran Pejabat Penerangan Daerah Tuaran di Kg. Bungalio Kiulu.

Teruja untuk bersama-sama meraikan hari bersejarah tersebut, penduduk mula hadir ke kawasan program seawal jam 8 pagi.

Sebelum lintas langsung, taklimat kesihatan disampaikan oleh Pegawai Perubatan, Pejabat Kesihatan Kawasan Tuaran, Dr. Mohd Safwan Mohd Noor dan ceramah keselamatan siber oleh Pegawai NADI Kg. Malangang, Linah Fedelis.

Tepat jam 10 pagi, lintas langsung Istiadat Pertabalan Yang di- Pertuan Agong Ke-17 mula ditayangkan.

Meski hanya menonton melalui lintas langsung, warga Kiulu yang hadir turut bersama-sama melaungkan ‘Daulat Tuanku’ sebanyak tiga kali seusai Sultan Ibrahim membacakan Warkah Ikrar.

Penolong Pegawai Daerah Kecil Kiulu, Leprus Esuvas berkata, sebagai rakyat Malaysia, beliau amat berbangga dengan pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17.

Beliau turut berhasrat untuk menjemput Sultan Ibrahim berkunjung ke Daerah Kecil Kiulu untuk memperkenalkan kawasan pelancongan di daerah berkenaan.

Sementara itu, suri rumah, Nora Sumping berkata program berkenaan amat sesuai kerana selain pengetahuan baharu, ia juga memberikan peluang kepada penduduk kampung untuk bersama-sama meraikan hari bersejarah meski berada jauh di Sabah.

Nora berharap agar negara akan lebih aman, damai, makmur dan sejahtera di bawah pemerintahan Sultan Ibrahim.

Manakala, pelajar tahun enam SK Bungalio, Kiulu, Mohd Farish Haqimi berasa teruja kerana pertama kali berpeluang menyaksikan dan belajar mengenai istiadat berkenaan.

Turut diadakan, bacaan yasin dan doa selamat sempena bagi mendoakan kesejahteraan Yang di-Pertuan Agong Ke-17, Sultan Ibrahim dan isteri, Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Hadir sama, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kiulu, Golubi Guntarik dan Pegawai Penerangan Daerah Tuaran, Malina Jamarin.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Penduduk Pulau Omadal berterima kasih atas keprihatinan SESB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular