Kota Kinabalu : Kementerian Kerja Raya (KKR) Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana kakitangan KKR termasuk jabatan dan agensi dibawahnya yang terlibat dengan gejala rasuah serta salah laku.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, pihak Kementerian akan terus bekerjasama dengan Bahagian Integriti dan Governans Negeri Sabah (BIGoNS) dalam memantau tindak tanduk pegawai di bawah KKR bagi memastikan isu-isu berkaitan integriti dapat dibendung dan dicegah daripada berlaku.
“Saya juga ingin menegaskan di sini bahawa pengurusan KKR Sabah tidak akan berkompromi dengan pelaku-pelaku rasuah dan salah laku dalam kalangan warga Kementerian, jabatan dan agensi.
“Saya juga mengalu-alukan pihak BIGoNS dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk sama-sama membantu dalam meneliti dan memberi nasihat jika terdapat perlakuan rasuah dan salah laku di bawah kementerian dan jabatan serta agensi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Minggu Integriti KKR Sabah di sini hari ini.
Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, pelaksanaan tugas yang telah diamanahkan kepada para kakitangan merupakan satu ibadah.
Justeru katanya, para kakitangan Kementerian perlu sentiasa menanamkan perasaan dan kemahuan serta keinginan untuk melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi bagi mendapatkan keberkatan.
“‘Saya yang menjalankan amanah’ bukanlah satu frasa semata-mata. Ianya adalah merupakan ikrar bahawa kita, khususnya penjawat awam berjanji untuk menggalas tanggungjawab dan amanah yang diberikan dengan penuh ikhlas,” katanya.
Dalam pada itu, Shahelmey ketika ditemui turut mengulangi gesaan agar semua warga KKR Sabah termasuk jabatan dan agensi dibawahnya untuk terus membudayakan dan mempraktiskan integriti dalam amalan kerja.
Katanya, sebanyak enam agensi dan jabatan di bawah Kementeriannya berjaya melancarkan Pelan Antirasuah Organisasi (PAO) masing-masing yang berfungsi memperkasa penyampaian perkhidmatan dengan penuh etika dan akauntabiliti.
“Adalah menjadi harapan saya agar setial warga Kementerian, jabatan serta agensi dibawahnya akan terus membudayakan dan mempraktiskan integriti dalam amalan kerja dan kehidupan mereka seharian.
“Semua jabatan dan agensi dibawah kementerian ada enam telah pun berjaya menyediakan PAO masing-masing dan itu menjadi satu panduan dalam mereka menjalankan kerja mereka bagi memastikan integriti dipraktiskan dalam semua aspek,” katanya. – SABAH MEDIA