HomePendapatKPM perlu gandakan usaha jadikan Sekolah Kebangsaan sebagai sekolah pilihan utama

KPM perlu gandakan usaha jadikan Sekolah Kebangsaan sebagai sekolah pilihan utama

Read Time:6 Minute, 38 Second

Oleh WAN AZRAIN ADNAN

1.        Pada awal bulan Julai baru-baru ini, menerusi jawapan bertulis di Parlimen, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memaklumkan mengenai peratusan kemasukan pelajar ke Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Malaysia.

2.        Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), dalam tempoh masa sepuluh tahun (2014 – 2024), trend kemasukan pelajar telah menunjukkan:

  • Sekolah Kebangsaan (SK): peratusan pelajar bukan bumiputera kini berada di bawah 5%, menurun dari 6.19% kepada 4.88%
  • Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC): peratusan pelajar bumiputera telah meningkat hampir 60%, dari 11.67% kepada 18.52%
  • Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT): peratusan pelajar bumiputera dan bukan bumiputera kekal sama tanpa perubahan ketara

3.        Di samping itu, di dalam jawapan yang sama, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut memaklumkan mengenai jumlah pelajar di Sekolah Antarabangsa/ International School di Malaysia:

  • jumlah pelajar warganegara ketika ini merangkumi hampir 70%
  • jumlah pelajar warganegara (Bumiputera) merangkumi hampir 20%
  • dalam tempoh masa 5 tahun (2019 – 2024), kemasukan pelajar warganegara telah meningkat sebanyak 34%
  • dalam tempoh masa 5 tahun (2019 – 2024), kemasukan pelajar warganegara (Bumiputera) telah meningkat sebanyak 49.4%, manakala pelajar warganegara (bukan Bumiputera) telah meningkat 30.6%

4.        Pada masa yang sama, data Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut menunjukkan:

  • peratusan pelajar Bumiputera di SJKC adalah tertinggi di Sabah (68.07%), Wilayah Persekutuan Labuan (66.34%), Sarawak (38.40%)
  • peratusan pelajar Bumiputera di SJKC di Semenanjung Malaysia adalah tertinggi di negeri-negeri: Kelantan (35.02%), Perlis (30.07%), Pahang (21.60%), Terengganu (31.73%)
  • peratusan pelajar Bumiputera di SJKC tidak begitu tinggi di negeri dan wilayah yang lebih ‘maju’ yang memiliki peratusan rakyat bukan bumiputera yang ramai: Johor (8.42%), Perak (9.54%), Pulau Pinang (5.06%), Selangor (9.79%), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (6.67%)

5.        Data Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) juga menunjukkan jumlah pelajar bukan Cina di SJKC di seluruh negara telah meningkat dengan ketara. Dalam tempoh 30 tahun (1989 – 2020), jumlah pelajar bukan Cina di SJKC telah meningkat hampir 6 kali ganda:

6.        Data-data berkenaan menunjukkan semakin ramai ibu-bapa Melayu/ Bumiputera mempunyai kepercayaan serta keyakinan tinggi kepada kualiti pendidikan di SJKC. Ini juga jelas membuktikan ramai ibu-bapa Melayu/ Bumiputera tidak mempedulikan kontroversi berkaitan SJKC yang sering-kali di bangkitkan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab semata-mata untuk tujuan politik. 

7.        Maka, persoalan utama ialah kenapa trend peningkatan ini berlaku?

8.        Timbalan Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) di laporkan berkata sememangnya peningkatan kemasukan pelajar Melayu ke sekolah vernakular semakin ketara, terutamanya Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC). Menurut beliau, ramai ibu-bapa Melayu mendaftarkan pelajar di SJKC berlandaskan beberapa perkara, antaranya:

  • mempelajari Bahasa Mandarin
  • prasarana sekolah yang serba lengkap seperti dewan berhawa dingin
  • peralatan pembelajaran sekolah terkini seperti Smart TV
  • pengurusan sekolah bersama alumni sekolah dapat mengumpul dana bagi pembangunan sekolah dan murid

9.        Di samping itu, Setiausaha Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (KONGRES) menyatakan bahawa ibu-bapa Melayu menganggap kualiti Pengajaran dan Pembelajaran (PnP) di SJKC untuk matapelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris adalah lebih baik.

10.      Manakala, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional pula berpendapat peranan Persatuan Ibu Bapa & Guru (PIBG) di SJKC merupakan antara faktor utama kepada kecemerlangan akademik di SJKC. PIBG di SJKC di lihat senantiasa memberi kerjasama padu kepada pengurusan sekolah menerusi pelbagai bentuk sokongan dan bantuan seperti dana kewangan dan material.

11.      Menurut beliau lagi, kerjasama berkenaan membolehkan SJKC menyediakan prasarana sekolah, seperti makmal sains dan makmal komputer yang lebih lengkap serta terkini, walaupun SJKC hanya berstatus Sekolah Bantuan Kerajaan.

12.      Beliau turut menyatakan SJKC memiliki tahap disiplin yang tinggi, di mana isu berkaitan pelajar, ibu-bapa dan guru jarang kedengaran serta di laporkan di media.

13.      Taktala SKJC menjadi semakin popular, ramai ibu-bapa sudah hilang keyakinan kepada kualiti pendidikan di Sekolah Kebangsaan (SK). Antara puncanya ialah:

  • prasarana SK yang usang dan tidak lengkap
  • kepadatan SK di mana jumlah pelajar sangat ramai di dalam kelas
  • guru-guru di SK di lihat sebagai kurang berkualiti
  • pengurusan SK yang di anggap tidak cekap

14       Tambahan lagi, SK di lihat sudah menjadi terlampau islamik sehinggakan menimbulkan keresahan ibu-bapa dan pelajar, terutamanya golongan bukan Melayu/ Islam. Situasi ini menjadikan ibu-bapa dan pelajar berkenaan kurang selesa dan seterusnya memilih untuk tidak menyertai SK.

15.      Samada benar SK sudah menjadi terlampau islamik ataupun persepsi semata-mata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) wajar segera menangani isu ini secara menyeluruh, memandangkan ianya sudah berlanjutan sekian lama. KPM perlu memastikan pihak pengurusan SK menyediakan suasana persekolahan yang mesra kepada semua pelajar, dengan mengambil pendekatan sederhana/ moderate yang tidak terlampau liberal mahupun konservatif.

16.      Selain itu, persoalan seterusnya ialah: ke manakah hala-tuju pelajar Melayu/ Bumiputera selepas SJKC?

17.      Menurut data sediada, jumlah pelajar bukan Cina di Sekolah Menengah Cina adalah sangat kecil, berbanding dengan jumlah pelajar Bumiputera di SJKC. Ini bermakna majoriti pelajar Melayu/ Bumiputera menyertai Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) untuk persekolahan peringkat menengah, selepas tamat persekolahan di SJKC.

18.      Pelajar Melayu/ Bumiputera mungkin lebih menjurus untuk mendapatkan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), berbanding dengan kelulusan dari Sekolah Menengah Cina. Ini sudah pasti akan memudahkan pelajar berkenaan untuk melanjutkan pendidikan tinggi di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Awam.

19.      Tindakan ini menunjukkan ramai ibu-bapa merasakan pembelajaran selama 6 tahun di SJKC dapat menyediakan asas yang kukuh sebagai pelajar berprestasi tinggi dan berdisiplin, untuk mencapai kecemerlangan pengajian di peringkat lebih tinggi. 

20.      Namun begitu, SJKC masih terpalit dengan kontroversi berkaitan dengan penggunaan serta penguasaan Bahasa Melayu. Pada tahun 2023, Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) di laporkan telah mempersoal arahan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), di mana semua sekolah di seluruh negara mesti menggunakan bank soalan yang sama untuk mata pelajaran Bahasa Melayu bagi Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA).

21.      Perkara berkenaan di timbulkan oleh Jiao Zong memandangkan pembelajaran Bahasa Melayu di SJKC menggunakan buku teks berbeza, di mana standard/ modul adalah lebih rendah dari SK. Tambahan lagi, jumlah masa pembelajaran Bahasa Melayu di SJKC juga kurang dari SK:

  • Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC): antara 128 – 160 jam setahun
  • Sekolah Kebangsaan (SK): antara 160 – 192 jam setahun

22.      Ini bukanlah isu yang baru. Sebagai contoh. Suatu ketika dahulu untuk Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menggunakan kertas peperiksaan Bahasa Melayu berlainan untuk pelajar SK dan SJKC.

23.      Walaupun SJKC semakin popular, SJKC belum boleh di iktiraf sebagai sekolah model sekiranya SJKC masih tidak menitik-beratkan penguasaan Bahasa Melayu setanding dengan SK. Pengunaan buku teks berbeza dan jumlah masa pembelajaran Bahasa Melayu yang kurang seumpama SJKC tidak mendokong kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

24.      Tambahan lagi, majoriti pelajar di SJKC masih terdiri daripada satu bangsa (iaitu lebih 80%), dan sudah pasti tidak menepati aspirasi perpaduan bangsa di bawah agenda pendidikan negara.

25.      Begitu juga dengan SK, di mana majoriti pelajar adalah Bumiputera, dan peratusan pelajar bukan Bumiputera sudah mencapai paras kritikal yang terlampau sedikit (tidak sampai 5%).

26.      Justeru itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mesti mengandakan usaha untuk meletakkan kembali Sekolah Kebangsaan (SK) sebagai sekolah pilihan utama bagi semua ibu-bapa dan pelajar.

RELATED ARTICLES
Pendapat

Ordinan Buruh perlu dipinda elak berlaku buruh paksa

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular