HomeUtama25 projek di Sabah dikategorikan 'sakit'

25 projek di Sabah dikategorikan ‘sakit’

Read Time:2 Minute, 12 Second

Kota Kinabalu : Sebanyak 25 daripada 1,218 projek pembangunan yang dilaksanakan setakat ini di Sabah dikategorikan sebagai ‘sakit’.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, projek yang dikategorikan sebagai ‘sakit’ itu berikutan kegagalan untuk menyiapkannya dalam tempoh yang ditetapkan.

Katanya, antara projek ‘sakit’ itu adalah berkaitan pembangunan sumber tenaga, bekalan air, elektrik dan pembinaan sekolah serta kemudahan kesihatan.

“Terdapat sebanyak 1,218 projek pembangunan yang sedang dilaksanakan di Sabah tetapi 25 daripadanya dikategorikan sebagai ‘sakit’. Projek ‘sakit’ ini termasuk tenaga, air, elektrik, sekolah, kemudahan kesihatan dan kemudahan lain yang tidak disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.

“Semua projek ini adalah penting kepada orang awam, oleh itu setiap usaha perlu diambil untuk mengutamakan dan memastikan penyelesaiannya,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Mesyuarat yang dihadiri semua menteri Kabinet negeri itu turut dihadiri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

Pada mesyuarat itu, jemaah Kabinet negeri diberi taklimat mengenai Jawatankuasa Khas Bersama Negeri-Persekutuan yang ditubuhkan untuk memantau projek pembangunan di Sabah, terutama yang bermasalah.

Berikutan situasi berkenaan, Hajiji mengarahkan jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan untuk menangani perkara yang menghalang pelaksanaan projek pembangunan di Sabah dengan segera.

Sementara itu, dalam mesyuarat itu juga, Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) yang memberi taklimat mengenai program pembasmian kemiskinan tegar di Sabah melaporkan negeri ini berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran sifar miskin tegar.

Hajiji berkata kerajaan negeri melalui Sekretariat SMJ perlu memperkenalkan langkah intervensi untuk mengurangkan lagi miskin tegar di negeri ini.

Terdahulu dalam ucapan alu-aluannya, Hajiji menggesa agensi pelaksana persekutuan dan negeri di Sabah untuk memaksimumkan penggunaan RM6.6 bilion yang diperuntukkan Kerajaan Persekutuan di bawah Belanjawan Nasional 2024 kepada Sabah.

Peruntukan itu katanya meliputi pelbagai program pembangunan termasuk mitigasi banjir, pemulihan Sungai Tuaran, pembinaan sekolah baharu, membaik pulih sekolah daif dan membina klinik baru serta premis Tamu Desa.

“Adalah penting untuk semua jabatan dan agensi di Sabah menggunakan sepenuhnya peruntukan dan pemindahan kuasa untuk agensi teknikal di Sabah melaksanakan projek pembangunan bernilai di bawah RM50 juta untuk merangsang pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.

Beliau berkata agensi pelaksana persekutuan dan negeri mesti mengukuhkan hubungan antara mereka, memperbaiki prestasi dan meningkatkan kualiti projek untuk kepentingan rakyat.

“Kita sudah melepasi pertengahan tahun, jadi saya mahu kita semua meneliti dan mengkaji prestasi kita berbanding sasaran masing-masing dalam pelaksanaan projek pembangunan persekutuan dan negeri,” katanya.

Hajiji berkata, rekod setakat 15 Julai lalu menunjukkan Sabah baru membelanjakan RM1.791 bilion atau 35.46 peratus berbanding prestasi kebangsaan sebanyak 43.45 peratus di bawah Pusingan Keempat, Rancangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

RELATED ARTICLES
EkonomiUtama

Capital A Hantar Pelan Pemulihan kepada Bursa Malaysia untuk Keluar dari...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular