HomeUtamaKeracunan makanan : Murid SK Pulau Gaya ada sejarah makan nasi lemak...

Keracunan makanan : Murid SK Pulau Gaya ada sejarah makan nasi lemak – JKNS

Read Time:2 Minute, 12 Second

Kota Kinabalu : Seramai 103 Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Gaya yang disahkan mengalami keracunan makanan pada Isnin lalu mempunyai sejarah memakan nasi lemak.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Datuk Dr Asits Sanna berkata, murid yang terlibat dengan insiden itu didapati telah memakan makanan itu sekitar jam 9.50 pagi hari sama.

Katanya, pihaknya melalui Pejabat Kesihatan Kawasan (PKK) Kota Kinabalu telah menerima notifikasi insiden berkenaan pada hari sama kira-kira jam 2.09 petang.

“Siasatan awal mendapati bahawa kesemua kes mempunyai sejarah memakan nasi lemak sekitar jam 9.50 pagi pada Isnin lalu. Bagaimanapun, sejarah lengkap pergerakan serta pendedahan kes kepada makanan masih dalam siasatan. 

“Tindakan kawalan yang telah dilaksanakan termasuk memberi rawatan yang bersesuaian, menjalankan pengesanan kes secara aktif (ACD), pendidikan kesihatan kepada individu terlibat serta pengambilan sampel makanan, minuman, dan persekitaran bagi tujuan pengesahan punca kejadian.

“Kes-kes mengalami gejala muntah, cirit-birit, dan sakit perut. Sebanyak lapan kes telah dimasukkan ke wad, manakala 95 kes dirawat sebagai pesakit luar. Kesemua kes berumur di antara enam hingga 12 tahun dan berada dalam keadaan stabil, serta tiada kematian dilaporkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Asits berkata, keracunan makanan adalah penyakit yang disebabkan oleh pengambilan makanan atau minuman yang tercemar.

“Ianya boleh disebabkan bakteria atau toksin bakteria tersebut, virus, parasit, bahan kimia seperti racun serangga dan racun rumpai, logam berat, tumbuhan yang beracun seperti cendawan dan hasilan laut seperti kerang. 

“Sebagai pencegahan, JKNS menasihati orang ramai agar sentiasa mengamalkan beberapa langkah antaranya sentiasa menjaga kebersihan dengan membasuh tangan dengan air dan sabun sebelum mengendalikan makanan.

“Selain itu, orang ramai juga perlu memastikan kawasan dapur bebas dari serangga, makhluk perosak, dan haiwan-haiwan yang lain,” katanya.

Tambahnya lagi, orang ramai juga dinasihatkan untuk sentiasa menggunakan peralatan yang berasingan untuk makanan mentah bagi mengelakkan pencemaran kepada makanan yang telah dimasak.

Selain itu, makanan juga perlu dimasak dengan sempurna dan memastikan ianya dimakan dalam tempoh tidak melebihi empat jam.

“Simpan makanan sedia dimakan pada suhu yang bersesuaian di dalam peti sejuk dan tidak melebihi tempoh yang ditetapkan selain gunakan bahan mentah yang segar dan air yang bersih untuk memasak.

“Amalkan konsep lihat, hidu, dan rasa dan elakkan makan sekiranya makanan atau minuman telah rosak dan pihak sekolah juta dinasihatkan untuk sentiasa memantau serta menjalankan pemeriksaan ke atas  makanan yang dijual atau dibekalkan di kawasan sekolah,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Asits berkata, JKNS Sabah juga ingin menasihatkan orang ramai agar segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami gejala keracunan makanan.

Katanya, JKNS dengan kerjasama PKK Kota Kinabalu akan terus memantau situasi kejadian ini dan akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa. – SABAH MEDIA / FOTO MAHA

RELATED ARTICLES
Utama

‘The Kopitiam’ jadi tema pada Pameran MATTA tahun ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular