HomeUtamaUsaha, doa ibu kunci kejayaan saya - Azemmy

Usaha, doa ibu kunci kejayaan saya – Azemmy

Read Time:3 Minute, 12 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Selain usaha, doa keberkatan ibu adalah kunci kejayaan saya, dia bukan sahaja menggendong tugas sebagai seorang ibu tetapi juga menggalas tugas seorang bapa untuk menanggung semua keperluan kami sekeluarga, kata Mohammad Azemmy Iqwan Albert.

Lebih mesra dipanggil Azemmy berusia 20 tahun dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tamparuli dan berasal dari Tuaran itu antara 130 pelajar Sabah yang mendapat keputusan cemerlang Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023 yang diumumkan seluruh Malaysia, semalam (23 Julai).

“Saya rasa sangat gembira dan bangga antara penerima PNGK 4.00 kerana memang susah untuk dapat keputusan sebegitu tapi berkat usaha dan doa ibu saya, saya dapat lakukannya dan ia berjaya membuahkan hasil hari ini,” katanya ketika ditemui Sabah Media selepas menerima keputusan STPM 2023 di Sekolah Menengah Tingkatan 6 Kota Kinabalu di sini, semalam.

Dalam kegembiran itu, Azemmy turut berkongsi cerita pelbagai cabaran yang diharungi untuk mencapai ke tahap itu.

“Saya termotivasi antaranya ialah ibu saya sendiri, ibu bukan sahaja menggendong tugas sebagai seorang ibu tapi beliau juga menggalas tugas seorang bapa untuk menanggung semua keperluan kami, jadi disebabkan itu saya dapat motivasi diri dan lebih yakin untuk lebih berusaha dan Alhamdulillah… saya berjaya mendapat keputusan yang terbaik ini.

“Sejak bapa saya meninggal dunia tiga tahun yang lalu, ibulah yang menjaga segala keperluan kami, saya sedar kepayahan ibu menjaga kami berempat adik-beradik, apatah lagi saya ada seorang adik lelaki orang kurang upaya (OKU).

“Selain itu, saya juga tinggal di asrama sekolah selama dua semester, jadi ini adalah peluang saya untuk lebih menumpukan kepada pembelajaran saya pada masa itu dan tidak mensia-siakan masa saya dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah serta paling penting mengerjakan solat memohon doa kerana Allah adalah sebaik-baik perancang untuk kita.

“Justeru, saya yakin dengan usaha dan doa keberkatan ibu adalah kunci kejayaan saya,” kongsinya.

Azemmy anak ketiga dari empat beradik bercita-cita mahu menjadi seorang guru dan merayu kepada pihak kerajaan supaya memberi peluang kepadanya untuk mendapatkan tajaan biasiswa agar dia dapat meneruskan pengajian ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

“Saya berharap saya dapat masuk ke IPTA dan mendapat tempat dalam kursus-kursus yang saya pilih, bertekad akan dapat keputusan pembelajaran lebih bagus daripada STPM ini.

“Disebabkan saya berasal dari keluarga B40 iaitu berpendapatan rendah jadi dari sana harapan saya mahu meningkatkan ekonomi taraf hidup keluarga saya dari segi pendapatan sekiranya saya sudah keluar bekerja nanti.

“Saya juga berharap kerajaan ataupun kementerian berkaitan fokus kepada pelajar yang betul-betul memerlukan sumbangan dan bantuan bukan sahaja dari segi sumbangan kewangan tetapi peluang mempermudahkan urusan untuk menempatkan kami ke pengajian tinggi awam,” ujarnya.

Sementara itu, ibu Azemmy Halimah Dulamit, 52, seorang surirumah berkata, dia bangga anaknya antara yang mendapat keputusan terbaik STPM 2023 itu.

Di sebalik kegembiraan itu, Halimah turut berkongsi cerita bagaimana tercetusnya semangat yang kuat ada pada anaknya Azemmy selepas pemergian bapanya akibat pandemik Covid-19 pada 2021.

“Pada ketika pandemik itu, kami sekeluarga terkena jangkitan Covid-19, hanya bapa Azemmy yang paling kritikal sehingga membawa kepada ajalnya.

“Azemmy pada ketika itu tidak putus-putus membaca surah yasin untuk kesembuhan bapanya semasa berada di wad hospital, saya faham perasaan anak-anak saya, tapi paling terkesan Azemmy kerana dia mahu menghadapi peperiksaan SPM pada ketika itu.

“Saya dapat merasakan Azemmy seorang anak yang kuat semangat, walaupun diuji dengan kesedihan pemergian bapanya untuk selama-lamanya, dia berjaya memperolehi keputusan cemerlang 8A dalam peperiksaan SPM 2021. Jadi tidak mustahil pada hari ini, Azemmy mengulangi kejayaan itu dalam STPM,” kata Halimah.

Halimah mempunyai empat anak lelaki masing-masing berusia 18, 20, 25 dan 27 tahun. Anak sulong dan kedua kini bekerja di sebuah syarikat swasta di sini.

Halimah turut memberitahu pada ketika ini keluarganya masih menerima bantuan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Sabah yang diperolehi daripada pekerjaan arwah suaminya sebagai Steam Boiler Engineer dahulu di salah sebuah syarikat swasta.

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular