Putatan : Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima peruntukan sebanyak RM64.8 juta pada tahun ini bagi pelaksanaan projek baharu fizikal kelengkapan bomba.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata, peruntukan itu adalah meliputi perolehan baharu dan penyelenggaraan jentera serta kenderaan bomba.
Katanya, ia termasuklah penambahan 30 unit Fire Rescue Tender (FRT); penggantian 10 unit bas bomba; penyelenggaraan Helikopter dan Aircraft Refuellent; dan penyelenggaraan kenderaan bomba.
“Bagi memperkasakan lagi khidmat kebombaan dan penyelamatan di Sabah, beberapa lagi projek baharu dan sambungan bagi pembinaan balai bomba telah diluluskan.
“Antara yang sedang dilaksanakan pada tahun ini adalah di Telupid, Lahad Datu, Beaufort, Pitas, Nabawan dan Merotai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam dan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Shahelmey Yahya.
Kor Ming berkata, pada tahun ini juga, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM53.8 juta bagi projek baharu fizikal binaan yang merangkumi pembinaan baharu, naik taraf dan penyelenggaraan fasiliti kebombaan termasuk balai dan kuarters.
Selain itu katanya, di bawah Rancangan Malaysia ke-12, Rolling Plan ke-Empat (RP4), Kerajaan juga telah meluluskan sebanyak RM267.6 juta di bawah Perbelanjaan Peruntukan Pembangunan (DE), JBPM di mana merangkumi 17 projek baharu dan 47 projek sambungan seluruh Malaysia.
Terdahulu, Kor Ming berkata, BBP Putatan ituvmerupakan projek pembinaan yang telah dilaksanakan di atas tapak yang berkeluasan 1.756 ekar dengan kos keseluruhan sebanyak RM 11.72 juta.
Katanya, ia merupakan Balai Bomba kategori C yang dilengkapi dengan ruang jentera, pejabat pentadbiran, stor logistik, rumah pam, menara dan padang kawad serta kemudahan-kemudahan lain.
“Selain itu, ia juga termasuk dengan bangunan kuarters dua tingkat terdiri daripada satu unit kelas E dengan empat bilik tidur dan empat tandas, dan tiga unit Kelas F dengan tiga bilik tidur dan tiga tandas,” katanya. – SABAH MEDIA