HomeUtamaKerjasama padu kekang ancaman pencerobohan anasir asing, militan

Kerjasama padu kekang ancaman pencerobohan anasir asing, militan

Read Time:2 Minute, 32 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan terus memberikan sokongan penuh dan kerjasama padu kepada Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan semua pasukan keselamatan.

Kerjasama ini adalah untuk mengekang ancaman pencerobohan anasir asing dan militan, anasir keganasan (fahaman pelampau), kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) dan jenayah rentas sempadan khususnya di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone).

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) amnya dan ESSCOM khasnya terus giat mengadakan operasi-operasi bagi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara daripada dibolosi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan menganggu gugat ketenteraman negeri Sabah.

“Sejajar dengan pemerkasaan hala tuju Sabah Maju Jaya, saya amat menyokong inisiatif-inisiatif penambahbaikan infrastruktur, aset, sumber manusia dan keperluan agensi keselamatan, penguatkuasaan dan pertahanan bagi memastikan tahap kebolehoperasian dan kesiapsiagaan berada pada tahap tertinggi”, katanya pada Mesyuarat Jawatankuasa Bersama ESS Zone Bilangan 1, Tahun 2024 di Menara Kinabalu pada Khamis.

Hajiji dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mempengerusikan bersama mesyuarat itu.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Ruji Ubi, Peguam Besar Negeri, Datuk Brenndon Soh dan Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Jabatan Ketua Menteri, Datuk Ag. Shahminan Ag. Sahari.

Menurutnya, sebagai sebahagian daripada Kawasan Pertumbuhan Asean Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA), Sabah berada pada kedudukan lokasi yang sangat strategik dengan Pantai Timur Sabah sebagai hab pertumbuhan ekonomi baharu kerana hampir dengan EAGA yang lain.

Hajiji berkata, pewujudan ibu negara baharu Indonesia, Nusantara di Kalimantan Timur juga akan menambah merit dan keunggulan negeri Sabah.

“Perkembangan-perkembangan positif ini wajar diambil peluang kerana kebanjiran manusia dan perusahaan ke Borneo akan memangkin pertumbuhan ekonomi negeri ini. Kerajaan percaya pelabur domestik dan antarabangsa boleh menerokai sub-rantau ini dengan pasaran lebih 70 juta pengguna dan berkembang”, katanya.

Hajiji berkata, ESSCOM telah menjadi jenama keselamatan (brand) yang dijadikan rujukan oleh pihak luar negara untuk membuat pelaburan.

“Kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan melalui KDN amat diperlukan bagi memastikan perancangan pembangunan ekonomi Sabah dapat dilaksanakan dengan jayanya.

‘Justeru, Kerajaan Negeri komited memastikan situasi keselamatan di sempadan maritim meliputi kawasan gugusan kepulauan, pesisiran dan sungai serta sempadan daratan khususnya di ESSZone dalam keadaan baik dan terkawal,” ujar beliau.

Tambah beliau lagi, ini kerana keluasan maritim yang besar di Sabah merupakan penyumbang kepada penjanaan kemakmuran ekonomi kepada negara Malaysia sebagai sebuah wilayah perairan yang tidak lepas dari ancaman keselamatan serta aktiviti jenayah merentasi sempadan.

“Oleh itu penyelarasan yang jitu antara Kerajaan Negeri dengan KDN melalui semua agensi dibawahnya seperti ESSCOM akan sentiasa digembleng bagi menangani isu-isu tersebut di Sabah khususnya dan di Malaysia amnya melalui langkah-langkah proaktif dan strategik bagi memelihara kedaulatan, mencegah dan membanteras ancaman keselamatan dari terus berlaku pada masa hadapan,” tegasnya.

Hajiji berharap melalui Mesyuarat Jawatankuasa Bersama itu dapat mencapai muafakat dalam meningkatkan lagi pelaksanaan operasi keselamatan dan program mensejahterakan rakyat, seterusnya meningkatkan keyakinan masyarakat di wilayah ini.

Sementara itu, Hajiji dan Saifuddin Nasution Ismail turut menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing Di Sabah (JKPWAS-INDUK) Bil 1, Tahun 2024 di Menara Kinabalu.

RELATED ARTICLES
Utama

Orang ramai dijemput hadir ke pameran Pembentukan Malaysia Khamis depan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular