HomeSukanSUKMA 2024 : Sabah hantar 1,041 atlet dan pegawai, gugurkan penyertaan Catur

SUKMA 2024 : Sabah hantar 1,041 atlet dan pegawai, gugurkan penyertaan Catur

Read Time:2 Minute, 19 Second

Kota Kinabalu : Jawatankuasa Induk Sukan Malaysia (SUKMA) Sabah menggugurkan penyertaan pasukan Catur pada temasya SUKMA Sarawak Ogos ini berikutan masalah teknikal pendaftaran peserta oleh pihak persatuan.

Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin berkata, berikutan itu, Sabah hanya akan menyertai 35 daripada jumlah keseluruhan 37 jenis sukan yang dipertandingkan.

Katanya, selain Catur, Sabah juga tidak menghantar wakil bagi sukan Kabaddi pada temasya berkenaan.

“Untuk makluman semua, selepas menilai secara teliti dan menyeluruh laporan penyediaan pasukan pada SUKMA kali ini, kontinjen Sabah akan menyertai 35 daripada jumlah keseluruhan 37 jenis sukan yang dipertandingkan, kecuali dua sukan iaitu Catur dan Kabaddi.

“Pengguguran penyertaan pasukan Catur adalag berikutan masalah teknikal pendaftaran peserta oleh pihak persatuan. Berhubung sukan Kabaddi pula, negeri Sabah masih belum mempunyai persatuan dan program pembangunan atlet untuk sukan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pengumuman penyertaan Kontinjen Sabah pada temasya SUKMA ke-21 di Sarawak yang akan berlangsung bermula 13 Ogos ini.

Hadir sama pada sidang media itu Pembantu Menteri Belia dan Sukan Datuk Fairuz Renddan dan Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Datuk Mansur Asun yang juga `Chief De’ Mission’ Sabah.

Ellron berkata,  cabaran kontinjen Sabah akan diperkuatkan seramai 713 orang atlet iaitu terdiri daripada 373 atlet lelaki dan 340 atlet wanita. 

Katanya, kontinjen Sabah akan diiringi oleh seramai 235 orang pegawai sukan termasuk pengurus pasukan, jurulatih selain 93 pegawai sokongan termasuk pasukan perubatan, melibatkan jumlah keseluruhan 1,041 orang atlet dan pegawai.

“Mengambil kira kos perjalanan yang lebih murah berbanding penyertaan kita setiap kali SUKMA diadakan di Semenanjung Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan Sabah menggunakan segala kelebihan yang ada untuk memberikan peluang seluas-luasnya kepada semua persatuan yang layak, bertandingg ke negeri jiran kita.

“Tahun ini, Sabah akan bertarung dalam 408 acara dari jumlah keseluruhan 488 acara yang dipertandingkan melibatkan penyertaan 84 peratus. Dari jumlah 408 acara itu, atlet Sabah akan menyertai 197 acara kategori lelaki, 178 acara kategori wanita dan 33 acara kategori campuran.

“Dari jumlah 713 orang atlet ini juga, seramai 390 atlet melibatkan 204 atlet lelaki dan 186 atlet wanita atau mewakili 55 peratus atlet yang terpilih merupakan atlet-atlet yang berjaya dilahirkan melalui penganjuran Sukan Sabah atau SAGA pada tahun 2023 di Kota Kinabalu.,” katanya.

Tambahnya, purata itu meningkat sebanyak 16 peratus berbanding semasa Sabah menyertai SUKMA 2022 di mana dari jumlah 466 orang atlet yang mewakili Sabah ketika itu, seramai 182 atlet dilahirkan melalui penganjuran Sukan Sabah 2019 di Keningau, iaitu hanya 39 peratus sahaja.

“Sebagaimana penyertaan di SUKMA-SUKMA sebelum ini, sasaran Sabah masih menumpukan usaha untuk merealisasikan impian memenangi 40 pingat emas.

“Rekod terbaik penyertaan Sabah ialah semasa SUKMA Ke-19 di Perak pada tahun 2018 di mana atlet-atlet Sabah berjaya membawa pulang 33 pingat emas, 27 pingat perak dan 46 pingat gangsa,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Sukan

Keputusan Sabah tidak jejas persiapan Sukan SEA 2027: Hannah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular