Kota Kinabalu: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah berjaya merekodkan jumlah keseluruhan rampasan RM348 juta bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Mohd Nasir Deraman berkata, berbanding tempoh sama pada tahun lalu, jumlah itu meningkat dari segi nilai namun bilangan kes adalah menurun.
“Untuk tempoh enam bulan pertama ini dari segi volume meningkat kerana melibatkan rampasan yang besar. Dari segi bilangan kes adalah menurun.
“Secara keseluruhan untuk tempoh enam bulan kita dapat kes adalah RM348 juta, ini bercampur barang-barang lain tapi dari segi jumlah komoditi utama dadah, rokok dan minuman keras,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin serta Toh Puan Norlidah R.M. Jasni di Istana Seri Kinabalu, di sini semalam.
Mohd Nasir yang ditemani isterinya Datin Halizah Abdul Samat memaklumkan kunjungan itu bertujuan untuk menyampaikan ucapan terima kasih kepada Tun Juhar mengenai persaraannya hari ini.
Selain itu, beliau turut merakamkan penghargaan serta terima kasih atas hubungan baik di antara pihak Istana Seri Kinabalu dengan JKDM Zon Sabah.
Dalam pada itu, Mohd Nasir berkata, dalam konteks kastam memerangi penyeludupan ia terfokus kepada tiga komoditi utama iaitu rokok, minuman keras dan dadah tetapi Sabah berdepan dengan komoditi lain seperti ayam import.
“Cuma di Sabah ini, berdasarkan pencapaian serta rekod, barangan sejuk beku seperti ayam menjadi komoditi yang besar dalam tangkapan dan rampasan.
“Ia merupakan barangan import dari luar negara yang memasuki negeri ini melalui Pelabuhan Sepanggar untuk pengguna dalam negeri ini,” katanya.
Meskipun keadaan kini terkawal dan kes telah berkurang, Mohd Nasir menyatakan, pihaknya akan terus meningkatkan langkah kawalan di pelabuhan menerusi kaedah pemeriksaan menggunakan mesin pengimbas yang dilengkapi Artificial Intelligence (A.I.).
“JKDM turut menguatkuasakan arahan kepada agen penghantaran untuk membuat pengikraran lengkap dan teratur supaya JKDM dapat mengenal pasti secara terus barangan yang diikrarkan,” katanya.
Dalam masa yang sama, Mohd Nasir berkata, sebagai check and balance pihaknya mengadakan operasi payung di luar pelabuhan sebagai second check untuk memastikan keadaan benar-benar dapat meningkatkan kepatuhan pihak pengimport di pelabuhan utama Sabah iaitu Sepanggar, Tawau dan Sandakan.
Mohd Nasir yang mula melapor diri pada 10 Oktober 2022, dikurniakan darjah kebesaran Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (P.G.D.K.) oleh Tun Juhar bersempena Sambutan Hari Jadi Rasmi Ke-70 tahun lalu.