HomeUtamaMurid maut keracunan makanan dari rumah bukan dari kantin sekolah - Raisin

Murid maut keracunan makanan dari rumah bukan dari kantin sekolah – Raisin

Read Time:1 Minute, 33 Second

KOTA KINABALU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun meninggal dunia disyaki akibat keracunan makanan di Sandakan, semalam (25 Jul).

Mangsa dikenali Muhammad Mifzal Anaqi Muhammad Rizal merupakan murid Tahun 4 di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Rimba Sandakan.

Pengarah Pendidikan Negeri Sabah Datuk Raisin Saidin ketika dihubungi media hari ini berkata, mangsa mendapat keracunan makanan tersebut daripada rumah dan bukan makanan dari kantin sekolah.

Katanya, menurut maklumat kronologi kes yang diterima pada 23 Julai 2024, guru kelas dimaklumkan bahawa murid tersebut (mangsa) tidak dapat hadir ke sekolah kerana keracunan makanan melalui ‘whatsapp’. Murid telah ke klinik dan diberi cuti sakit selama dua hari 23 hingga 24 Julai 2024.

“Guru kelas dimaklumkan oleh keluarga murid bahawa anak mereka tiba-tiba pengsan pada malam hari Rabu dan telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) setelah dibawa ke Hospital.

“Namun pada 25 Julai 2024, jam 7.00 pagi guru kelas telah dimaklumkan oleh waris murid bahawa anak mereka telah meninggal dunia.

“Seterusnya pada jam 12.00 tengahari semalam , guru besar bersama beberapa orang guru telah melawat jenazah murid di rumah nenek murid di Kg Tinusa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Raisin berkata, kes tersebut kini dalam siasatan Pejabat Kesihatan Daerah Sandakan.

“Menurut dapatan sekolah mengenai kes tersebut mangsa keracunan makanan di rumah bersama ibu. Mangsa dan ibu bersama-sama dimasukkan ke wad.

“Keracunan makanan bukan sebab makanan di kantin sekolah memandangkan ia melibatkan seorang murid sahaja dan murid bersama ibu mengalami keracunan makanan pada hari yang sama di rumah,” jelas Raisin.

Sementara itu, Raisin berkata, bagaimanapun murid-murid lain tidak mengalami sebarang sintom keracunan makanan pada hari yang sama sehingga ke hari ini 26 Julai 2024 (Jumaat)

Katanya, JPN Sabah melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sandakan akan membantu keluarga mangsa untuk tuntutan insurans takaful.

“JPN Sabah akan membuat laporan lengkap kes apabila semua siasatan telah selesai oleh Pejabat Kesihatan Daerah Sandakan,” tambah beliau.

RELATED ARTICLES
Utama

Orang ramai dijemput hadir ke pameran Pembentukan Malaysia Khamis depan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular