HomeUtamaTiga suspek diburu berkaitan kes kematian anak pemilik restoran terkenal di Sandakan

Tiga suspek diburu berkaitan kes kematian anak pemilik restoran terkenal di Sandakan

Read Time:1 Minute, 37 Second

KOTA KINABALU: Polis Sandakan sedang giat memburu tiga suspek lelaki untuk membantu siasatan kes kematian seorang anak pemilik restoran terkenal di Sandakan yang mayatnya ditemui di kawasan ladang Kampung Sungai Memanjang semalam.

Tiga suspek yang diburu iaitu Mohd Jasmin Rusman, 24, atau Achok, Mohamad Zulfaizie Hanafie Mohd Firdaus, 24, dan seorang lagi dikenali sebagai Komeng berusia 20-an.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan Superintendan K Ramasamy berkata, siasatan awal mendapati mangsa dikenali sebagai Naufal Abdul Rashid, 35, telah berkenalan dan berkawan dengan seorang wanita iaitu adik kepada suspek, Mohd Jasmin.

“Berdasarkan maklumat orang hilang, mangsa kali terakhir dilihat bersama suspek Mohd Jasmin sebelum dilaporkan hilang kira-kira pukul 4 pagi pada Ahad lalu (21 Julai).

“Difahamkan mangsa dengan Mohd Jasmin berjumpa kerana ada perselisihan faham yang mahu mereka bincangkan pada pagi itu,” kata K Ramasamy pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan hari ini.

Susulan daripada itu, K Ramasamy berkata, seorang wanita yang juga bekas isteri suspek Mohd Jasmin telah ditahan untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, semalam pihak polis menerima maklumat dari orang awam pada jam 10.50 pagi (25 Julai) berkenaan penemuan sebuah kenderaan terbakar di kawasan ladang tersebut.

“Seterusnya sepasukan polis menjalankan pemeriksaan di kawasan tersebut telah menjumpai satu mayat yang tidak sempurna lebih kurang 16 meter dari kereta tersebut dalam kawasan hutan berhampiran.

“Hasil siasatan dijalankan di lokasi berdasarkan kepada pakaian dan seluar mangsa yang dijumpai ianya merujuk kepada kes orang hilang yang telah disiasat.

“Mangsa dipercayai anak kepada pemilik restoran terkenal di Sandakan dilaporkan hilang sejak empat hari lalu sebelum mayatnya ditemukan pada Khamis,” katanya.

Menurut K Ramasamy, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Duchess of Kent Sandakan dan bedah siasat serta pengecaman mayat akan dijalankan pada hari esok (27 Julai).

“Setakat ini, motif adalah perselisihan faham berkaitan dengan hubungan mangsa dengan adik Mohd Jasmin.

“Pasukan penyiasat forensik masih ditempat kejadian untuk membuat pemeriksaan terhadap kenderaan yang dijumpai.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Orang ramai dijemput hadir ke pameran Pembentukan Malaysia Khamis depan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular