HomeUtamaUsaha pemuliharaan terumbu karang di TTAR perlu terus ditingkatkan

Usaha pemuliharaan terumbu karang di TTAR perlu terus ditingkatkan

Read Time:1 Minute, 26 Second

Kota Kinabalu : Perancangan teliti bagi memastikan Taman Tunku Abdul Rahman (TTAR) terus relevan dan mampu menghadapi cabaran masa depan perlu terus dilaksanakan selaras dengan slogan Sabah Maju Jaya (SMJ).

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew berkata, ia termasuklah meningkatkan usaha pemuliharaan terumbu karang yang terancam akibat perubahan iklim dan aktiviti manusia melalui program restorasi karang.

“Taman ini juga perlu memperkukuhkan program pendidikan alam sekitar supaya generasi muda memahami dan menghargai kepentingan memelihara alam semulajadi.

“Selain itu, taman ini perlu memperbaiki infrastruktur dan kemudahan untuk pelawat agar mereka dapat menikmati pengalaman yang lebih selesa dan memuaskan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis sambutan ulang tahun Jubli Emas Pewartaan TTAR ke-50 di Pulau Manukan TTAR di sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Taman Taman Sabah (TTS) Peter Lintar dan turut dihadiri Pengarah TTS Dr Maklarin Lakim.

Christina berkata, TTAR penting bukan hanya dari segi alam sekitar dan pelancongan, tetapi juga dari sudut ekonomi negeri Sabah.

Katanya, sektor pelancongan yang berkembang pesat di taman itu telah menyumbang kepada peningkatan ekonomi negeri dengan ketara.

“Ia membuka banyak peluang pekerjaan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dan membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat.

“Tambahan pula, ia meletakkan Sabah di peta dunia sebagai destinasi ekopelancongan yang mesti dikunjungi. Sebagai Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, saya dan keseluruhan kementerian akan sentiasa menyokong penuh usaha murni Taman-Taman Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, Christina berkata, pelbagai usaha konservasi mampu mengekalkan kekayaan biodiversiti marin di TTAR selain turut menarik kedatangan pelancong untuk melawat taman ini.

“Saya menyeru agensi kerajaan lain serta NGO turut serta dalam usaha konservasi terumbu karang agar ekosistem marin ini dapat dinikmati oleh generasi akan datang,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO SABAH PARK

RELATED ARTICLES
Utama

DUN Sabah : Jumlah pelawat ke Sabah menurun paras terendah ketika...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular