HomeIsu tempatanHannah, Mia galas cabaran Sabah cipta hatrik Bintang Kecil Kebangsaan

Hannah, Mia galas cabaran Sabah cipta hatrik Bintang Kecil Kebangsaan

Read Time:1 Minute, 36 Second

Kota Kinabalu : Finalis Bintang Kecil, Hannah Jean Roney dan Mia Chantal Giwod Kinsuat akan menggalas cabaran Sabah mencipta kejuaraan hatrik Bintang Kecil Peringkat Kebangsaan.

Kedua-duanya terpilih mewakili Sabah selepas menjadi finalis terbaik dalam Program Debaran Bintang Kecil Zon Sabah 2024 yang melibatkan enam peserta akhir dari seluruh negeri.

Mereka membawa pulang RM3,000, trofi dan sijil penyertaan yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Penyiaran Sabah, Teknologis Cyril Simon, di sini baru-baru ini.

Peserta dari Kudat, Hannah,11, berkata beliau akan mempersiapkan diri dari pelbagai aspek bagi berentap di peringkat separuh akhir di Sarawak pada September nanti.

“Persiapan saya adalah menyertai latihan kelas vokal dengan kerap daripada guru saya sebab saya mahu memantapkan lagi vokal selain lebih berdisiplin untuk menjaga pemakanan supaya suara bagus,” katanya yang mendendangkan lagu ‘Hening Rindu’ nyanyian asal Marsha Milan.

Mengambil pendekatan yang sama, peserta dari Penampang, Mia,12, meluahkan rasa syukur dan turut membuat persediaan yang serupa bagi mewakili negeri di Bawah Bayu.

“Saya akan lebihkan latihan dan jaga suara, saya tidak sangka menang tetapi sangat bersyukur, dari segi pemakanan, saya akan diet daripada semua yang sejuk, makanan berminyak, dan semua yang tidak bagus untuk suara saya,” katanya yang mempertaruhkan lagu ‘Seksis’.

Sementara itu, Penolong Pengarah Seksyen Muzik dan Hiburan RTM Sabah, Howard Martin Kim Sung memberitahu kesemua enam finalis yang bertanding beraksi sangat baik dan bersungguh-sungguh demi mewakili Sabah ke peringkat separuh akhir.

“Penganjuran Debaran Bintang Kecil Zon Sabah bagi tahun 2024 berjalan dengan lancar dan enam peserta finalis beraksi bersungguh-sungguh dan kita nampak semua peserta all out ataupun berhabisan memperagakan kehebatan mereka di pentas.

“Untuk makluman, kita telah menjuarai dua tahun berturut-turut di peringkat kebangsaan iaitu pada 2023 dan 2022, jadi sasaran kita adalah untuk hatrik, dapatkan satu lagi kejuaraan menjadi tiga tahun berturut-turut.

“Jadi kita menyasarkan harapan pada dua peserta terbaik kita ini di peringkat kebangsaan nanti,” katanya ketika ditemui media di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

UMS usaha sebar luas pengetahuan berkaitan HIV AIDS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular