HomePendapatIsu legasi di Sabah perlu dana besar, projek ‘sakit’ perlu di tangani...

Isu legasi di Sabah perlu dana besar, projek ‘sakit’ perlu di tangani segera untuk kesejahteraan rakyat

Read Time:6 Minute, 15 Second

Oleh WAN AZRAIN ADNAN

1.        Beberapa hari lepas, semasa mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Sabah, Ketua Menteri Sabah telah memaklumkan terdapat 25 projek pembangunan di Sabah yang di kategorikan sebagai projek ‘sakit’, iaitu projek yang tidak di laksanakan dalam tempoh masa yang di tetapkan.

2.        Projek ‘sakit’ berkenaan melibatkan pelbagai projek berkepentingan awam, meliputi projek-projek berkaitan tenaga, air, elektrik, sekolah, serta kemudahan kesihatan.

3.        Walaupun jumlah 25 projek ‘sakit’ adalah kecil (2.1%) berbanding dengan jumlah keseluruhan sebanyak 1,218 projek yang sedang di laksanakan di Sabah, kelewatan pelaksanaan projek-projek berkenaan sudah pasti akan menjejaskan kesejahteraan hidup rakyat Sabah.

4.        Ketua Menteri Sabah juga memaklumkan, berdasarkan rekod setakat 15 Julai 2024, Sabah baru membelanjakan sebanyak 35.46% (RM 1.791 billion), berbanding dengan prestasi kebangsaan sebanyak 43.45% di bawah Pusingan Keempat, Rancangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Ini menunjukkan kadar pelaksanaan projek di Sabah adalah lebih perlahan berbanding dengan kadar kebangsaan. Sudah pasti ada isu-isu tempatan yang menyebabkan kadar perlahan tersebut.  

5.        Fakta menarik: Di bawah Belanjawan Negara 2024, Sabah telah di berikan peruntukkan sebanyak RM 6.6 billion. Ini adalah peningkatan sebanyak RM 100 juta, di mana Sabah telah menerima peruntukkan sebanyak RM 6.5 billion di bawah Belanjawan Negara 2023.

Antara projek yang telah di berikan peruntukan: mitigasi banjir, pemulihan sungai, pembinaan sekolah baru, baik-pulih sekolah daif, pembinaan klinik baru.

6.        Justeru itu, Ketua Menteri Sabah telah menggesa semua jabatan dan agensi di Sabah untuk menangani isu-isu berbangkit agar semua projek dapat di laksanakan dengan baik dan mengikut tempoh masa yang di tetapkan. Beliau turut menggesa semua agensi mengoptimumkan seluruh peruntukan yang telah di sediakan kepada Sabah di bawah Belanjawan Negara 2024.

Maka, Jawatankuasa Khas Bersama Negeri-Persekutuan telah di tubuhkan untuk memantau pelaksanaan projek pembangunan di Sabah, terutamanya projek yang berdepan dengan masalah.

7.        Amatlah malang, peruntukan yang telah di sediakan untuk projek pembangunan di Sabah tidak di belanjakan sepenuhnya kerana isu-isu pelaksanaan.

8.        Mungkin suatu ketika dahulu Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Sabah tiada peruntukan yang besar untuk melaksanakan projek pembangunan di Sabah. Namun begitu, kini bila sudah ada peruntukan yang besar berjumlah berbillion-billion Ringgit dan meningkat dari tahun sebelumnya, isu-isu pelaksanaan pula menjadi penghalang.

9.        Lagi lambat projek-projek pembangunan berkenaan dapat di laksanakan, lagi lamalah rakyat Sabah terpaksa menunggu untuk menikmati infrastruktur dan kemudahan awam yang lebih baik serta mencukupi.

10.      Hakikatnya, situasi kelewatan projek sebegini bukanlah perkara yang baru. Antara isu-isu pelaksanaan yang sering di bangkitkan adalah: proses pemilihan dan pelantikan kontraktor mengambil masa lama, skop dan rekabentuk projek yang berubah, kegagalan kontraktor membuat kerja dengan cekap, kesulitan pengambilan tanah projek.

11.      Sebagai contoh. Pada awal Julai 2024, Ketua Audit Negara telah menerbitkan Laporan Ketua Audit Negara 2/2024 (LKAN 2/2024), di mana ianya merangkumi laporan pengurusan projek bekalan air luar bandar di Sabah, yang di laksanakan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Malaysia.

12.      Di bawah Rancangan Malaysia ke-10 (2011 – 2015) dan Rancangan Malaysia ke-11 (2016 – 2020), peruntukan berjumlah RM 1.735 billion telah di sediakan yang melibatkan sebanyak 477 projek bekalan air luar bandar di Sabah.

13.      Menurut LKAN 2/2024, majoriti projek (430: 90.1%) telah di siapkan. Manakala, 32 projek (6.7%) masih di peringkat pelaksanaan dan perancangan, dan 15 projek (3.2%) pula telah di batalkan.

14.      Maklumbalas yang telah di berikan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Malaysia mengenai kelewatan projek berkenaan termasuklah: tempoh masa pelantikan perunding, penyediaan dan kelulusan reka bentuk projek, bantahan dan pencerobohan penduduk di tapak projek, perubahan kaedah perolehan kerajaan, kebergantungan kepada prestasi agensi pelaksana berkaitan.

15.      Oleh kerana kelewatan pelaksanaan projek berkenaan, lebih 20,000 bilangan rumah di Sabah masih tidak mendapat bekalan air bersih dan terawat. Ini bermakna puluhan ribu rakyat Sabah masih belum menikmati kemudahan asas air bersih terawat, walaupun Malaysia di tubuhkan lebih 60 tahun dahulu.

16.      Suruhanjaya Air Negara (SPAN) telah melaporkan bahawa Sabah mengalami isu Kadar Air Tidak Berhasil/ Non-Revenue Water (NRW)yang ke-2 tertinggi di Malaysia, pada tahap 55%. Maka, projek ‘sakit’ yang melibatkan bekalan air bersih dan terawat sudah pasti memanjangkan penderitaan rakyat Sabah.

17.      Selain isu bekalan air, Sabah juga menghadapi isu bekalan elektrik yang tidak stabil dan mencukupi. Sehingga penghujung tahun 2023, Sabah Electricity (SESB) melaporkan bekalan elektrik di Sabah masih berdepan situasi tidak stabil berikutan margin simpanan tenaga yang rendah, iaitu hanya 12% daripada janaan tenaga 1,200 MW, berbanding dengan keperluan asas pengguna sebanyak 1,080 MW.

18.      Malah pada bulan Mac 2024, SESB terpaksa melaksanakan catuan bekalan elektrik di Sabah akibat masalah kekurangan penjanaan tenaga di dalam grid bekalan elektrik. Pelaksanaan catuan elektrik berkenaan menjejaskan lebih 100,000 pengguna, merangkumi hampir 15 daerah di Sabah dan Labuan.

19.      Pada masa yang sama, projek ‘sakit’ berkenaan turut melibatkan sekolah di Sabah. Ini amatlah mendukacitakan memandangkan Sabah memiliki jumlah sekolah daif yang begitu banyak. Berdasarkan rekod Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) 2022, daripada 1,292 buah sekolah di Sabah, lebih separuh (704 buah: 54.5%) sekolah tersebut di kategorikan sebagai daif dan memerlukan penambah-baikan segera.

20.      Tiada maklumat terkini mengenai jumlah sekolah daif di Sabah. Namun begitu, jumlah terkini sekolah daif di Sabah sudah pasti masih banyak sekiranya ada projek ‘sakit’ yang tidak dilaksanakan dengan baik dan tepat masanya.

21.      Penambah-baikan sekolah daif di Sabah sewajarnya di beri keutamaan dari segi dana kewangan dan tempoh pelaksanaan kerana ini melibatkan pembangunan modal insan yang dapat meningkatkan taraf kehidupan rakyat Sabah. Pendidikan adalah kunci untuk melepaskan rakyat Sabah dari penjara kemiskinan yang sudah berlanjutan dari generasi ke generasi.  

22.      Sama seperti sekolah, kemudahan kesihatan di Sabah juga memerlukan penambah-baikan segera. Pada pertengahan tahun 2023, Ketua Menteri Sabah di laporkan berkata bahawa walaupun Sabah memiliki jumlah klinik dan hospital yang banyak, kebanyakan kemudahan kesihatan tersebut adalah daif.

23.      Malah, pada September 2022, Menteri Kesihatan Malaysia menyatakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengenal-pasti 326 klinik di Sabah yang perlu di naik-taraf. Daripada jumlah tersebut, 287 klinik (88%) adalah bangunan kayu dan telah di kategorikan sebagai tidak selamat untuk di gunakan.

24.      Penyelesaian isu-isu legasi di Sabah memerlukan dana yang besar dan masa yang lama. Maka, isu projek ‘sakit’ mesti di tangani segera agar projek dapat di siapkan untuk kesejahteraan rakyat Sabah.

25.      Tidak di nafikan pelaksanaan sebarang projek akan menempuhi isu-isu berbangkit, samada yang sudah di jangka atau tidak di jangka. Ini adalah lumrah pengurusan projek. Namun begitu, semua pihak terbabit mestilah memiliki ‘sense of urgency’ untuk menangani isu-isu berkenaan dengan pantas, dan bukannya mengambil masa yang terlalu lama sehingga bertahun-tahun.

26.      Rakyat Sabah sudah lama menunggu.

RELATED ARTICLES
Pelancongan Regatta Lepa
PendapatUtama

Industri Pelancongan Memacu ekonomi Negara

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular