HomeUtamaKelas KAFA bakal diwujudkan di Kg Lok Dangkaan, Pitas - Arifin

Kelas KAFA bakal diwujudkan di Kg Lok Dangkaan, Pitas – Arifin

Read Time:2 Minute, 7 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

PITAS: Kelas Al-Quran dan Fardhu ‘Ain (KAFA) bakal diwujudkan di Kampung Lok Dangkaan di sini bagi memanfaatkan anak-anak penduduk kampung itu mempelajari hal-hal berkaitan agama Islam.

Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Sabah merangkap Exco Agama dan Exco Pendidikan, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, pewujudan kelas KAFA itu seperti yang diminta oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas Datuk Ruddy Awah dan juga penduduk kampung itu sendiri.

“Kita akan wujudkan kelas KAFA seperti yang diminta oleh YAB Adun Pitas dan juga penduduk kampung ini dan insya Allah… kita akan mewujudkan kelas KAFA serta imam yang bertauliah iaitu sama ada imam rawatib atau imam kariah kerana kawasan ini memerlukan imam berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mini Loji Rawatan Air Bersepadu (Solar – IoT) di Kg Lok Dangkaan di sini, kelmarin (27 Jul).

Disamping itu juga, katanya, dari segi connectivity (ketersambungan), KSTI akan mengenal pasti apa keperluan untuk memudahkan anak-anak di kampung itu mendapat akses pembelajaran.

“Kita juga akan meminta jawatan kuasa dengan dokongan dengan wakil rakyat di kawasan ini bagaimana untuk membantu anak-anak ini dan kawasan yang terdekat serta kawasan sekitar Pitas ini untuk mendapatkan biasiswa.

“Kita akan berikan keutamaan kepada mereka untuk mendapatkan biasiswa sama ada dari kerajaan negeri atau Yayasan Sabah (YS), Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS), Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS). Keempat-empatnya ini kita telah wujudkan dari portal yang sama maka kita senang akses dari sana.

“Kita akan meminta sokongan dan senarai daripada wakil rakyat melalui pemimpin masyakarat di kawasan ini untuk membantu mengenal pasti mereka yang layak untuk mendapat biasiswa.

“Terima kasih kepada MUIS kerana mereka juga akan membuka ruang untuk anak-anak khususnya anak-anak di kawasan ini untuk masuk ke Universiti Malaysia Sabah (UMS),” katanya.

Ditanya mengenai permintaan untuk membina sekolah aliran perdana di kampung itu, Arifin berkata, pada masa ini sebagai permulaan kelas KAFA akan diwujudkan terlebih dahulu sebelum keperluan lain.

“Memulakan dengan kelas KAFA, kelas KAFA ini perlu untuk anak-anak kita, barulah kita kenal pasti keperluan lain.

“Keutamaan kita adalah untuk anak-anak kita belajar mengaji, belajar hal-hal berkaitan agama disamping kelas KAFA ini boleh juga mereka membuat tusyen dan sebagainya,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya juga telah memaklumkan perkara itu kepada pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).

“Kita sudah meminta pengarah JHEAINS untuk membina sebuah kelas KAFA dekat dengan masjid Kg Lom Dangkaan ini. Kawasannya luas, saya akan meminta izin daripada wakil rakyat di kawasan ini bagaimana kita untuk membantu anak-anak di kawasan ini,” tambah beliau lagi.

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular