HomeIsu tempatanManfaatkan peluang pengajian di universiti sebaiknya

Manfaatkan peluang pengajian di universiti sebaiknya

Read Time:1 Minute, 39 Second

Kota Kinabalu : Pelajar baharu Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST) UMS Sesi Akademik 2024/2025 diseru agar memanfaatkan peluang menyambung pengajian di UMS bagi menambah ilmu pengetahuan serta mempelajari aspek kehidupan di dalam kampus.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, kehadiran para pelajar bagi menjalani program Asasi di UMS merupakan satu titik permulaan dalam perjalanan hidup mereka sebagai seorang pelajar universiti.

“Pengajian Asasi UMS ini adalah bagi memperkukuh asas dalam bidang sains dan teknologi untuk melanjutkan pelajaran ke program ijazah di UMS, sejajar dengan misi dan visi penubuhan PPST, UMS.

“Selain itu, kehadiran anda di sini juga merupakan satu proses peralihan dari alam persekolahan ke alam universiti sebelum peringkat ijazah kelak.

“Saya berharap agar pengajian di Asasi UMS ini akan menjadi suatu memori indah bagi mengorak langkah sebagai seorang pakar yang dapat menyumbang kepada negara sama ada dalam bidang sains ataupun teknologi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika merasmikan penutupan Minggu Suai Mesra (MSM) Asasi UMS Sesi 2024/2025 kali ke-15.

Dr Kasim turut mengingatkan para pelajar bahawa kewujudan universiti adalah  disebabkan permintaan masyarakat sekeliling yang ingin melihat perubahan hidup menerusi tahap pendidikan tinggi.

“Selain bekalan transkrip akademik yang dibawa untuk memasuki alam pekerjaan, aspek-aspek lain seperti keterlibatan dalam aktiviti universiti juga dapat meningkatkan tahap keyakinan diri.

“Sehubungan itu, suka saya mengingatkan, ikuti dan sertailah segala program kurikulum dan kokurikulum serta saya doakan agar anda semua mampu memperkukuhkan iltizam dan menzahirkan usaha dalam menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh demi melakar masa depan yang lebih terjamin,” katanya.

Pada majlis tersebut, seramai 468 pelajar program Asasi UMS, yang terdiri daripada 332 pelajar Asasi Sains, 96 pelajar Asasi Teknologi Maklumat, dan 40 pelajar Asasi Agrisains membacakan lafaz ikrar di hadapan para pegawai utama dan kanan universiti.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin; Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar; dan Pengarah PPST, ChM. Dr. Newati Wid.  – SABAH MEDIA / FOTO UMS

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

UMS usaha sebar luas pengetahuan berkaitan HIV AIDS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular