HomeUtamaPeranan 70 PIBG sekolah di Kudat diiktiraf, terima sumbangan BAGUS

Peranan 70 PIBG sekolah di Kudat diiktiraf, terima sumbangan BAGUS

Read Time:2 Minute, 27 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KUDAT: Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM140,000 menerusi inisiatif Bantuan Aktiviti PIBG Sabah (BAGUS) untuk 70 Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) di Daerah Kudat.

Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) merangkap Exco Agama dan Exco Pendidikan, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, Pengetua-Pengetua, Guru Besar dan PIBG sekolah di Daerah Kudat akan menerima sumbangan Pendidikan melalui inisiatif BAGUS sebanyak RM 2,000 setiap sekolah.

“Sumbangan ini juga adalah sebagai mengiktiraf peranan PIBG dalam memperkasakan sektor pendidikan di setiap sekolah.

“Bantuan ini dijangka akan melibatkan sebanyak 1,600 sekolah di seluruh negeri Sabah dengan peruntukan sebanyak RM 3 juta pada tahun ini.

“Bagi Daerah Kudat saja peruntukan disediakan sebanyak RM140,000 untuk 70 PIBG.

“Pada tahun ini, permohonan BAGUS telah diselaraskan oleh Pejabat Pendidikan Daerah untuk dikemukakan kepada Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas),” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian WAM-2Care Peringkat Daerah Kudat Tahun 2024.

Bantuan sumbangan tersebut adalah sebahagian daripada jelajah Program Wadah dan Amal (WAM- 2Care) selama dua hari bermula 27 hingga 28 Julai hari ini untuk daerah Kudat dan Pitas.

Program tersebut dijayakan bersama Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas), Pejabat Daerah Kudat, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Perbadanan Baitumal Negeri Sabah (PBNS) serta KSTI.

Pada program itu, seramai 98 pelajar tingkatan 6 dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pekan Kudat dan SMK Abdul Rahim menerima sumbangan saguhati daripada MUIS.

Arifin berkata, jelajah program WAM-2Care ini selain menyampaikan maklumat mengenai inisiatif-inisiatif kerajaan untuk bantuan pendidikan dan bantuan dakwah ia juga adalah sebagai wadah mengeratkan silaturrahim bersama pemimpin dan anak-anak tingkatan 6 di daerah Kudat.

“Pada program ini apa yang penting kita dapat bersama-sama mengeratkan silaturahim bersama pemimpin di kawasan ini serta anak-anak tingkatan 6 di daerah Kudat.

“Mudah-mudahan akan memberikan semangat kepada mereka apabila kita lihat inisiatif yang banyak disediakan dan diluluskan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, jadi tidak ada alasan untuk kita tidak maju dalam pendidikan.

“sekurang-kurangnya pada setiap tahun RM500 juta peruntukan disediakan oleh Ketua Menteri (Hajiji) melalui inisiatif pendidikan termasuk biasiswapun kita tambah daripada RM50 juta kepada RM100 juta.

“Seterusnya ada tabung pendidikan dilancarkan oleh Ketua Menteri, sekarangpun sudah bertambah tabung berkenaan dan dapat membantu anak-anak kita,” katanya.

Pada program ini juga, Arifin turut menyaksikan penyampaian bantuan bulanan zakat MUIS 2024 berjumlah RM934,200 kepada 237 ketua isi rumah (KIR) asnaf fakir daerah Kudat.

Ketua Pegawai Eksekutif MUIS, Ramlan Awang Ali (kiri) menyampaikan replika cek bantuan bulanan zakat MUIS 2024 berjumlah RM934,200 kepada Pegawai Daerah Kudat Alexander Yong untuk diserahkan kepada 237 ketua isi rumah (KIR) asnaf fakir daerah Kudat .

Selain bantuan pendidikan, turut disampaikan bantuan dakwah melibatkan sebanyak empat buah masjid dan Balai Polis di Pitas manakala bagi daerah Kudat sebanyak tiga buah masjid dan dua buah sekolah tahfiz serta Balai Polis Kudat turut menerima sumbangan menerusi Program WAM-2Care ini.

RELATED ARTICLES
Utama

Mesyuarat berhubung isu GISBH di Sabah diadakan bulan depan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular