HomeUtama77.41 peratus kemajuan keseluruhan projek LPB Sabah Fasa 1A - Alexander

77.41 peratus kemajuan keseluruhan projek LPB Sabah Fasa 1A – Alexander

Read Time:3 Minute, 21 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Kemajuan fizikal semasa keseluruhan kerja projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah Fasa 1A (15 Pakej Kerja) ialah 77.41 peratus dengan empat pakej telah disiapkan, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata, empat pakej tersebut iaitu WP05: Donggongon ke Papar pada 29 Ogos 2022, WP27: Kg. Lot M ke Mile 32 pada 18 November 2022, WP15: Tawau ke Semporna pada 10 Ogos 2023 dan WP21: Lahad Datu Bypass pada 30 Oktober 2023.

“Manakala 11 pakej masih diperingkat pembinaan dengan jangkaan siap keseluruhan pada Mac 2026,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media semasa mengadakan lawatan kerja memantau kemajuan kerja Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1A di Sipitang, Beaufort, Putatan dan Penampang.

Alexander (tengah) semasa sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di LPB Sabah Pakej Kerja 6 (Putatan – Inanam).

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Ir Shahelmey Yahya.

Tinjauan ini bertujuan untuk meneliti prestasi pelaksanaan secara dekat serta mendapatkan maklumat lanjut dan input pihak-pihak terlibat berhubung keberkesanan pelan mitigasi yang telah diambil dalam melaksanakan projek.

Pakej Kerja yang menjadi pemerhatian Alexander adalah WP01: Sindumin Kampung Melalia (28.5km), WP02: Kampung Melalia – Beaufort (34.7km) dan WP06: Putatan Inanam (19.6km). Sehingga 30 Jun 2024, kemajuan fizikal WP 01 adalah 64.79%, WP 02 mencapai 50.58% manakala WP 06 kini 87.95%.

Skop Projek ini ialah menaik taraf jalan tunggal 2 lorong 2 hala sedia ada kepada jalan berkembar 4 lorong 2 hala dengan piawaian R5/U5.

Tinjauan juga turut memfokuskan kesinambungan usaha Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam menguruskan insiden banjir di Sabah khususnya di Penampang yang berdekatan dengan kawasan Projek LPB Sabah baru-baru ini.

Salah satu kawasan yang terjejas ialah Kiranau yang berdekatan dengan Pakej Kerja 6 (Putatan – Inanam).

Sehubungan berkenaan dengan aduan banjir itu, Alexander hari ini bersama pegawai-pegawai melawat kawasan WP06 Putatan-Inanam dan telah diberi taklimat daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Jabatan Pengairan dan Sabah (JPS).

Beliau berkata, JKR dan pihak yang menguruskan Pan Borneo akan sentiasa berkerjasama dengan JPS dalam apa saja diperlukan untuk tangani masalah ini.

“Nampaknya sudah ada perancangan JPS bukan sekadar lokasi ini saja tapi lokasi-lokasi lain sepanjang Sungai Moyog sampai ke Putatan,” katanya.

“Pihak JKR bersama-sama dengan JPS dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan mengambil tindakan segera sekiranya berlaku sebarang insiden banjir di sepanjang kawasan pembinaan Projek LPB Sabah untuk mengurangkan kesan yang buruk kepada masyarakat setempat dan impak kepada projek keseluruhan.

“Antara punca utama insiden banjir yang telah dikenal pasti termasuklah taburan hujan luar biasa daripada taburan hujan purata yang menyebabkan sungai berhampiran tidak mampu menampung kapasiti air.

“Selain itu, sistem perparitan di luar Right of Way (ROW) Jalan Persekutuan yang kurang sempurna dan merupakan kawasan sering berlaku banjir (flood-prone area) sebelum kerja-kerja naiktaraf jalan dan pembinaan Projek LPB Sabah bermula lagi,” jelasnya.

Walau bagaimanapun, katanya JKR Sabah dengan kerjasama pihak konsultan, pihak JPS dan PBT akan terus memantau dari semasa kesemasa serta bersedia mencari solusi penambahbaikan di kawasan yang terkesan dengan banjir bagi mengelakkan kejadian tersebut terus berulang.

“KKR berharap pasukan Projek LPB Sabah dapat mengekalkan momentum kerja pembinaan dan penyenggaraan dengan menepati mutu yang ditetapkan dari segi kualiti, kos dan masa,” katanya.

Sementara itu, Alenxander turut memaklumkan bagi projek LPB Sabah Fasa 1B setakat ini belum bermula dan berharap akan memilih krontraktor yang betul-betul berkelayakan.

“LPB Sabah Fasa 1B sekarang sedang di tender, tender terbuka antara syarikat-syarikat lulus pra kelayakan dan sekarang di peringkat perolehan dan dihantar ke Kementerian Kewangan, keputusan akan dibuat.

“Kita berharap timeline kita sepertimana saya sebut dalam Dewan dalam jawapan saya surat setuju terima kepada syarikat-syarikat yang boleh dikatakan dalam bidaan ini kita akan boleh selesaikan atau sempurnakan dalam suku ketiga tahun ini iaitu tidak lewat dari September tahun ini.

“Kita juga berharap, kita akan memilih syarikat-syarikat kontraktor pembinaan ini yang betul-betul berkelayakan supaya kita tidak ulangi masalah pihak di peringkat kontraktor atau berkaitan dengan koordinasi antara kontraktor JKR dan KKR,” tegas Alexander.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah perlu manfaat pasaran pelancongan Rusia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular